BERITA SEMASAPOLITIK

Onn Hafiz tolak debat PRN Johor kerana mahu dinilai berdasarkan hasil kerja, bukan publisiti

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan keputusannya menolak debat ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu bukan kerana menentang budaya berbahas, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada usaha membangunkan negeri dan menyampaikan hasil kepada rakyat.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira strategi kempen serta rekod kerja kerajaan negeri sepanjang empat tahun sebelum pilihan raya berkenaan.

Mengulas perkara itu dalam program dialog iFUTURE 2026 – Special Series di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini, Onn Hafiz berkata, beliau turut dinasihatkan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin supaya tidak membuang masa dengan debat ketika pilihan raya.

“Chief KJ menasihati saya, ‘Onn, jangan buang masa. Ada perkara lain yang perlu kamu fikirkan.’ Kamu sudah mendahului, jadi mengapa perlu mengambil risiko?” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pendiriannya bukan bermaksud menolak debat secara mutlak, sebaliknya setiap perkara perlu dilihat mengikut kesesuaian masa dan strategi.

“Kita sedang berdebat sekarang, tetapi ada masa dan tempat yang sesuai untuk berbuat demikian dari sudut strategi,” katanya.

Menurutnya, beliau bersama pasukan kerajaan negeri telah bekerja keras sepanjang empat tahun bagi membawa perubahan kepada Bangsa Johor, meskipun mengakui kepimpinan mereka tidak terlepas daripada kelemahan.

Katanya, perkara lebih penting ialah rakyat dapat melihat sendiri manfaat dasar dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri.

“Saya tidak fikir adil untuk saya berkongsi tumpuan dengan mereka yang datang ke Johor semata-mata untuk mendapatkan publisiti murahan.

“Pemimpin tidak seharusnya dinilai berdasarkan apa yang mereka katakan atau melalui debat, sebaliknya berdasarkan apa yang dilakukan dan bagaimana mereka berkhidmat kepada rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Pada PRN Johor Ke-16 lalu, calon Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malek yang juga bekas Menteri Pendidikan ketika itu mengajak Onn Hafiz berdebat bagi membentangkan visi dan serta membela nasib rakyat Johor.

Dalam perkembangan lain, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada pembangunan kepimpinan generasi muda menerusi Dewan Muda Johor yang diperkenalkan oleh Menteri Besar terdahulu, Datuk Seri Hasni Mohammad pada 2018.

Beliau berkata, inisiatif itu bukan sekadar platform perbahasan, sebaliknya bertujuan menggalakkan golongan muda terlibat dalam usaha mencetuskan perubahan melalui program latihan industri dan pembangunan kepimpinan bersama kerajaan.

Katanya, pendekatan itu penting bagi melahirkan pemimpin masa depan yang mampu berdiri setanding dengan pemimpin di peringkat antarabangsa.

Mengulas isu yang dikaitkan dengan ‘Strawberry Generation’, beliau berkata terdapat maklum balas daripada pelabur dan pemilik perniagaan mengenai sebahagian golongan muda yang didakwa sukar menangani tekanan di tempat kerja.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap isu kesihatan mental dan keretakan institusi keluarga di Johor.

“Angka terkini yang dikongsikan exco kerajaan negeri menunjukkan kira-kira 7,000 anak muda di Johor mengalami kemurungan secara klinikal.

“Selain itu, kes perceraian di Johor mencecah 10,000 setakat Jun 2026 dan diunjurkan meningkat kepada 20,000 menjelang akhir tahun,” katanya.

Menurutnya, keretakan rumah tangga memberi kesan besar kepada anak-anak dan boleh mencetuskan pelbagai masalah sosial yang lebih meluas.

Sehubungan itu, beliau menggesa kepimpinan di peringkat negeri dan Persekutuan supaya tidak lagi mengetepikan isu berkenaan, sebaliknya bekerjasama mencari penyelesaian.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata Johor melaksanakan penilaian ketat terhadap pelaburan pusat data dengan hanya menerima pembangunan yang memenuhi piawaian Tier 3 dan Tier 4, selain mengutamakan penggunaan air minimum serta teknologi hijau seperti panel solar.

Katanya, sebuah majlis khusus turut ditubuhkan bagi menilai setiap cadangan pelaburan yang ingin memasuki negeri itu.

Mengenai peluang pekerjaan kepada pelajar antarabangsa, beliau berkata keutamaan tetap diberikan kepada rakyat Malaysia, namun sekitar 20 hingga 30 peratus peluang turut dibuka kepada tenaga kerja asing yang diperlukan, selain inisiatif seperti Malaysia My Second Home (MM2H).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button