BERITA SEMASAPMX

PM kongsi Syeikh Wazir terkejut dakwaan azan disekat di Pulau Pinang tidak benar

GEORGE TOWN – Persepsi kononnya azan disekat di Pulau Pinang berubah selepas seorang ulama terkenal dari Kelantan, Tuan Guru Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki melihat sendiri keadaan sebenar di negeri itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Syeikh Wazir sebelum ini mendengar pelbagai dakwaan mengenai kononnya terdapat sekatan terhadap azan di Pulau Pinang.

“Bila dia tengok sambutan begitu, dia tak sangka dengar tohmahan itu, macam kita tak mahu Islam, bencikan Islam. Itu yang dia dengar.

“Tapi bila dia tengok majlis-majlis kerajaan yang kita anjurkan, baik di Seri Perdana, baik di JAKIM, Majlis-Majlis Agama Islam Negeri, Syeikh Wazir terkejut kerana ini Pulau Pinang. Yang dia dengar tak boleh azan di Pulau Pinang.

“Yang dia dengar di sana kerana fitnah itu telah tersebar. Tapi bila sampai, dia kata bukan sekat azan, tapi azan Subuh pun sampai dua kali,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tadabur Mushaf MADANI dan Perasmian Ma’idah Wanita MADANI Peringkat Nasional di Masjid Al-Muhajirin, Seberang Jaya, di sini hari ini.

Justeru, Anwar menegaskan walaupun Ketua Menteri Pulau Pinang Cina, tetapi majlis sedemikian dianjurkan oleh kerajaan.

“Jadi dia (Syeikh Wazir) kata, ini berbeza dengan apa yang didengar,” katanya.

Anwar berkata, pengalaman itu menunjukkan terdapat perbezaan antara maklumat atau tohmahan yang diterima dari luar dengan keadaan sebenar yang dapat dilihat sendiri apabila seseorang berada di Pulau Pinang.

Katanya, Sheikh Wazir turut menyaksikan sendiri penganjuran program berkaitan Islam yang melibatkan tok guru dan ulama dari pelbagai negeri, termasuk Syeikh Abdul Rahim dari Pendang, selain Mufti Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.

“Saya sangat terharu kerana nampak ramai tok guru yang tak pernah berdamping dengan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, penglibatan ulama dalam program berkenaan turut memperlihatkan keterbukaan kerajaan untuk bersama-sama mengangkat martabat Islam melalui pendidikan, dakwah dan penghayatan al-Quran.

Dalam pada itu, Anwar turut memuji kupasan khutbah dalam bahasa Melayu yang disampaikan di sebuah masjid di Pulau Pinang yang disifatkannya sangat mengesankan kerana mampu mengetuk pintu hati dan membantu jemaah menjiwai mesej al-Quran.

“Khutbah ini macam dakwah, dia ketuk pintu hati sampai. Al-Quran itu macam tu, hudal lil muttaqin. Dia mesti ketuk pintu hati, baru sampai menjiwai rohnya,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button