BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Masakan Thai premium halal jadi tarikan White n Black Royal Thai Cuisine

SEMENYIH – White n Black Royal Thai Cuisine terus memperkukuh jenamanya dalam industri makanan dan minuman dengan pembukaan cawangan keenam berkonsepkan masakan Thailand premium yang disahkan halal, sekali gus menawarkan pengalaman autentik masakan Thai.

Ketua Pegawai Eksekutif, Firdaus Jamaluddin berkata, pembukaan cawangan terbaharu itu telah mula beroperasi sejak 4 September lalu sebelum dirasmikan secara rasmi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.

“Alhamdulillah, White n Black Royal Thai Cuisine ini merupakan outlet keenam kami sejak dibuka pada September 2025 dan setiap outlet mempunyai konsep serta kuisin yang berbeza,” katanya.

Menurutnya, restoran berkenaan memperoleh pensijilan halal pada Disember 2025 dan disahkan pada minggu terakhir bulan tersebut sebelum dirasmikan secara rasmi hari ini.

“Untuk cawangan ini, kita tampilkan konsep makanan Thailand dan Alhamdulillah ia telah disahkan halal. Kelebihan utama kami berbanding restoran Thailand lain ialah status halal makanan itu sendiri,” katanya.

Halal
White n Black Royal Thai Cuisine tampil sebagai restoran masakan Thailand premium yang disahkan halal, dengan menawarkan lebih 80 menu autentik Thai kepada pelanggan.

Firdaus berkata, restoran berkonsepkan premium itu menawarkan lebih 80 menu termasuk Tamarind Tiger Prawn berasaskan asam jawa dan Mango Salad Ikan Siakap, dengan rasa autentik masakan Thailand yang dibawa masuk ke Malaysia.

“Kami bawa chef kami ke Thailand untuk merasai sendiri makanan di sana dan kemudian dibawa masuk ke Malaysia. Jadi, pelanggan yang teringin menikmati masakan Thailand tidak perlu ke sana, sebaliknya boleh datang ke White n Black Royal Thai Cuisine,” katanya.

Beliau berkata, restoran itu menampilkan ruang makan dua tingkat yang selesa dan mampu menampung kira-kira 150 pelanggan pada satu-satu masa, selain kesemua chef merupakan tenaga kerja tempatan tanpa menggunakan chef asing.

Menurutnya, pihaknya turut merancang untuk menyediakan akuarium ikan hidup bagi membolehkan pelanggan memilih sendiri ikan air tawar untuk dimasak, yang hanya ditawarkan di cawangan berkenaan.

Mengulas mengenai lokasi restoran yang terletak di luar Kuala Lumpur, Firdaus berkata, faktor lokasi bukan penentu utama kerana pelanggan sanggup melakukan perjalanan jauh sekiranya pengalaman dan kualiti makanan yang ditawarkan berbaloi.

Beliau berkata, restoran beroperasi seperti biasa sepanjang bulan Ramadan dengan konsep hidangan ala carte.

Dalam perkembangan lain, Firdaus memaklumkan setakat ini tiga cawangan telah memperoleh sijil halal, manakala satu lagi masih dalam proses, selain perancangan membuka dua cawangan baharu pada 2026.

Mengulas perancangan jangka panjang, beliau berkata pihaknya tidak bercadang membuka francais bagi mengekalkan kawalan kualiti, sebaliknya menyasarkan penyenaraian awam permulaan (IPO) menjelang 2028 sebagai antara syarikat Melayu Bumiputera terawal ke arah tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button