BERITA SEMASA

ESG kini penentu daya saing usahawan negara – KP MARA

KUALA LUMPUR – Agenda kelestarian kini menjadi penentu utama daya saing perniagaan apabila aspek Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) semakin menjadi keutamaan dalam pembangunan keusahawanan negara.

Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman menegaskan bahawa pemahaman terhadap ESG tidak lagi bersifat pilihan, sebaliknya asas penting bagi memastikan daya tahan dan kelangsungan perniagaan.

“Malaysia telah memperkenalkan ESG Framework for SMEs 2024 dan NIMP 2030 yang menekankan inovasi hijau sebagai pemacu ekonomi masa hadapan.

“Bermula 2025, semua syarikat tersenarai Bursa Malaysia diwajibkan mengemukakan laporan kelestarian perkembangan yang memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan termasuk PKS serta pembekal Bumiputera,” katanya.

Beliau berkata demikiam ketika berucap pada Majlis Penutup ISER Entrepreneurship Symposium (IES) 2025 anjuran Institut Keusahawanan Lestari Malaysia (ISER) di bawah Akademi Kecemerlangan MARA (AKM) di ibu negara hari ini.

Majlis penutupan turut menyaksikan pertukaran dua Memorandum Persefahaman (MoU) antara MARA dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) serta MARA dan Entrepreneurship Development Institute of India (EDII), merangkumi pembangunan modal insan, modul latihan, microcredential, program ToT, penyelidikan dan perkongsian kajian kes.

ESG

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan AKM dan ISER, penceramah industri, panel jemputan serta rakan strategik atas komitmen menjayakan inisiatif tersebut.

Terdahulu, lebih 200 peserta terdiri daripada pengurus, pegawai MARA, agensi berkaitan dan usahawan menyertai simposium, sekali gus mencerminkan komitmen kukuh terhadap ekosistem keusahawanan berteraskan kelestarian.

Mengulas lanjut, Zulfikri berkata, institusi kewangan juga kini memberi keutamaan kepada pembiayaan hijau, manakala pasaran eksport seperti Kesatuan Eropah mengetatkan syarat ESG.

“Ramai usahawan Bumiputera masih pada peringkat awal memahami keperluan ESG, sedangkan ia sebenarnya peluang meningkatkan reputasi, nilai, pembiayaan dan pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, Zulfikri berkata, pegawai pembangunan usahawan MARA memainkan peranan penting sebagai pembimbing, jurulatih serta pemacu perubahan di lapangan.

“Pemahaman kukuh mengenai ESG dalam kalangan pegawai akan memastikan bimbingan yang diberikan lebih strategik, berimpak dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button