PM umum kampus UiTM Jalan Othman dinamakan sempena Tun Arshad Ayub
SHAH ALAM – Kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jalan Othman, Petaling Jaya akan dinamakan semula sebagai Kampus UiTM Tun Arshad Ayub Jalan Othman sebagai mengenang jasa tokoh pendidikan berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau turut meluluskan peruntukan RM2.5 juta bagi kampus berkenaan ketika menghadiri pertemuan bersama keluarga besar alumni UiTM di Shah Alam, tengah hari tadi.
Mengambil semangat ungkapan Roger Garaudy, “Not to bury the ashes of the dead but to rekindle its flame,” beliau berkata, nama Allahyarham Tun Arshad Ayub diharap terus menyemarakkan tuntutan terhadap kecemerlangan dan integriti dalam kalangan warga UiTM.
“Saya turut mengenang jasa Allahyarham Tun Arshad Ayub, tokoh yang begitu tegas dalam memperjuangkan mutu dan peluang pendidikan untuk anak-anak Melayu.
“Beliau juga meninggalkan teladan dalam pengurusan yang cekap, bersih dan amanah, yang mengukuhkan kehebatan ITM Jalan Othman,” katanya dalam kenyataan.
Anwar menegaskan komitmen Kerajaan MADANI terhadap agenda Bumiputera, termasuk menerusi peningkatan peruntukan mengurus dan pembangunan UiTM daripada kurang RM2 bilion sebelum ini kepada RM3.08 bilion tahun ini.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan setiap ringgit yang diperuntukkan untuk pendidikan dan agensi Bumiputera mesti dimanfaatkan dengan amanah serta tidak dikhianati oleh salah guna kuasa, ketirisan atau amalan sakau.
Pada masa sama, Anwar meminta alumni UiTM memilih kira-kira 10 tokoh daripada pelbagai disiplin untuk menilai program utama agensi Bumiputera, khususnya UiTM, selain mengemukakan teguran dan cadangan yang jujur.
“Kita mesti berani mengenal pasti kelemahan sendiri jika mahu mengangkat UiTM menjadi pusat kecemerlangan akademik yang lebih unggul,” katanya.
Dalam sesi soal jawab, beliau berkata turut mendengar keresahan mahasiswa mengenai peluang pekerjaan dan gaji yang setimpal selepas tamat pengajian.
Katanya, langkah lebih tegas bagi menangani isu gaji dan upah sedang diteliti dan, insya-Allah, akan diumumkan dalam Belanjawan akan datang.
Beliau turut memberi perhatian kepada mahasiswa daripada keluarga miskin yang masih bergelut mendapatkan makanan mencukupi, sambil menegaskan kesulitan asas itu perlu ditangani.
Mengenai persoalan tatakelola UiTM Holdings yang didakwa mengalami kerugian lebih RM100 juta, Anwar berkata beliau mengalu-alukan penelitian bersama pihak alumni dan pengurusan UiTM dengan kerjasama pejabatnya.
“Kita perlu memperbaiki sebarang kelemahan dan mengambil tindakan jika siasatan menemukan kecurangan,” katanya.
Anwar berkata, amanah itu perlu dipikul bersama warga UiTM dan alumninya dalam mempertahankan peluang untuk anak-anak Melayu dan Bumiputera, memelihara hak serta keharmonian seluruh rakyat dan memastikan institusi ditadbir dengan bersih.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








