JENAYAH & MAHKAMAH

Remaja 14 tahun maut di asrama, polis tahan pelajar 16 tahun

SEREMBAN – Polis menahan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun bagi membantu siasatan kes kematian seorang remaja berusia 14 tahun yang dilaporkan tidak sedarkan diri di sebuah asrama sekolah di Kuala Pilah, malam tadi.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 8 malam sebelum mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.

“Susulan kejadian itu, pihak polis menjalankan siasatan segera mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan menahan seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun.

“Pihak polis juga sedang meneliti semua fakta dan bukti bagi menentukan punca dan motif sebenar kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alzafny berkata, polis memandang serius sebarang kejadian keganasan membabitkan pelajar, khususnya yang mengakibatkan kehilangan nyawa.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana boleh menjejaskan siasatan serta privasi keluarga mangsa.

“Polis menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil membantu siasatan.

“Keutamaan pihak polis adalah memastikan siasatan dijalankan secara profesional, menyeluruh dan berdasarkan bukti bagi memberi keadilan kepada semua pihak,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button