BERITA SEMASA

Dua botol disyaki bom buatan sendiri di bawah kereta Siti Kasim

KUALA LUMPUR – Dua botol plastik dipercayai berisi bahan letupan ditemui terikat di bawah kereta milik peguam dan aktivis sosial, Siti Kasim ketika menghantar kenderaannya diselenggara di Jalan Maarof, Bangsar hari ini.

Siti Kasim dalam siaran Live di Facebooknya berkata, kewujudan objek dipercayai bom buatan sendiri yang tersangkut pada bahagian roda itu disedari kira-kira pukul 12 tengahari tadi selepas dimaklumkan oleh mekanik.

“Ada dua botol mineral tersangkut pada bahagian tayar belakang kereta. Ketika ini kereta saya masih berada di bengkel dan tidak dapat berbuat apa-apa lagi.

“Objek itu disedari (mekanik) selepas menaikkan kereta ke platform untuk pemeriksaan dari bawah kereta.

“Saya sudah menghubungi polis menerusi panggilan 999 dan memberitahu ini adalah ancaman bom,” katanya,” katanya.

Menurut Siti Kasim, kereta jenis Toyota Celica itu dihantar untuk diselenggara sebelum memulakan perjalanan ke Kelantan.

Sementara itu polis telah menutup pusat servis berkenaan dengan kawalan ketat, selain memasang pita kuning sepanjang 100 meter di kawasan berhampiran pusat servis.

Hadir di lokasi Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang melakukan pemeriksaan risiko.

Turut berada di lokasi kejadian adalah Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain.

 

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button