BERITA SEMASA

PDRM janji dedah hasil siasatan kes ‘pijak kepala’

GEORGETOWN -Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan hasil siasatan berhubung insiden ‘pijak kepala’ yang tular di Kulim, Kedah akan didedahkan kepada umum bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ketika ini dua siasatan dijalankan serentak melibatkan aspek jenayah serta tatatertib terhadap anggota terlibat.

Menurutnya, siasatan jenayah dibuka mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan, manakala siasatan tatatertib pula menilai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh anggota berkenaan.

“Siasatan dijalankan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak. Beri ruang kepada pihak kami melengkapkan siasatan dan hasilnya akan dimaklumkan bersama tindakan lanjut,” memetik BH online.

Beliau berkata, SOP tangkapan sememangnya membenarkan penggunaan kekerasan minimum yang munasabah, terutama jika berdepan suspek yang melawan atau mengancam keselamatan.

“Terdapat situasi tertentu yang menjadi “garis kelabu” dalam menentukan tahap kekerasan sesuai, bergantung kepada keadaan di lapangan,” katanya lagi.

Sebelum itu, tular rakaman video memaparkan seorang lelaki ditarik dari motosikal sebelum kepalanya dipijak oleh anggota polis dalam satu operasi rondaan cegah jenayah di Jalan Tunku Putra, Kulim.

Dalam pada itu, beberapa pihak termasuk pertubuhan masyarakat sivil menggesa hasil siasatan didedahkan bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap pasukan keselamatan serta memastikan sebarang salah laku diambil tindakan sewajarnya.

Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat kesimpulan awal hanya berdasarkan rakaman video pendek yang tular di media sosial.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button