2.54 tan ikan bandaraya berjaya ditangkap, usaha MPKL perangi spesies invasif diperkasa
KUALA LANGAT — Sebanyak 2,540 kilogram atau 2.54 tan ikan bandaraya berjaya ditangkap dalam Program Misi Memburu Ikan Asing yang diadakan di Sungai Klang, Taman Mas Langat, di sini hari ini.
Program anjuran Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dengan kerjasama Skuad Pemburu Ikan Asing (SPIA) itu melibatkan seramai 23 penjala yang berganding bahu dalam usaha mengurangkan populasi spesies invasif berkenaan.
Ketua Whip merangkap Ahli Majlis Kuala Langat, Nur Zairina Muzaini berkata, program tersebut merupakan satu inisiatif yang signifikan dalam memelihara keseimbangan ekosistem sungai, khususnya dalam menangani ancaman ikan asing terhadap spesis tempatan.

Menurutnya, pelaksanaan itu bertujuan mengurangkan populasi ikan asing yang memberi kesan buruk terhadap ekosistem sungai serta menyumbang kepada masalah hakisan dan runtuhan tebing, sekali gus menjadi antara punca kejadian banjir di kawasan Koi Prima.
“Program ini amat bermanfaat kerana ia bukan sahaja membantu mengawal populasi ikan bandaraya, malah memberi kesan langsung kepada pemeliharaan struktur tebing sungai,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Tambah beliau, program berkenaan bukan sahaja membantu masyarakat dari sudut penjanaan pendapatan, malah berperanan mendidik orang ramai agar lebih peka terhadap risiko melepaskan spesies ikan asing ke dalam sungai.
“Kesedaran ini penting supaya masyarakat memahami bahawa tindakan melepaskan ikan asing boleh memberi kesan jangka panjang kepada alam sekitar,” ujarnya.

Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Yang Dipertua MPKL, Ahmad Zaki Yusof; Ahli Majlis MPKL, R Panalsalwa serta Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan MPKL, Mohd Aszzwir Mohd Sabiruddin bersama barisan pengarah jabatan.
Mengulas lanjut, Nur Zairina berharap lebih banyak agensi kerajaan dan syarikat swasta tampil bekerjasama dalam menjayakan program seumpama ini, selain menggalakkan agar ia dilaksanakan dengan lebih kerap oleh pelbagai pihak.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan usaha membanteras spesies invasif ini dapat diteruskan secara konsisten dan lebih berkesan,” katanya.
Sementara itu katanya, program berkenaan dilihat bukan sahaja berjaya mencapai objektif mengurangkan populasi ikan bandaraya malah menjadi platform efektif dalam mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar serta biodiversiti perairan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








