AS benarkan senjata pancaran haba diuji di sempadan Mexico
WASHINGTON – Pentagon membenarkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (DHS) menguji senjata pancaran haba berteknologi ketenteraan untuk kemungkinan digunakan dalam operasi di sempadan selatan negara itu dengan Mexico.
Kebenaran itu diberikan menerusi memorandum yang ditandatangani Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth, pada September lalu, menurut laporan CNN.
Senjata dikenali sebagai Active Denial System (ADS) itu menggunakan pancaran gelombang elektromagnet tidak kelihatan yang mampu mencapai jarak lebih 800 meter, sekali gus menghasilkan sensasi terbakar yang kuat apabila terkena kulit manusia.
Kesan haba itu dilaporkan boleh bertahan antara 10 hingga 15 minit dan direka untuk mendorong individu menjauhi kawasan yang terkena pancaran berkenaan.
Menerusi memorandum itu, Pentagon meluluskan pinjaman sementara satu unit ADS kepada DHS selama tujuh bulan bermula September lalu bagi tujuan pengujian dan pembangunan kaedah penggunaan berpotensi dalam operasi sempadan.
Bagaimanapun, kebenaran menguji senjata itu tidak bermakna ia sudah diluluskan untuk digunakan dalam operasi sebenar.
DHS bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pengendalian sistem berkenaan, manakala pihak Pentagon tidak akan mengoperasikannya.
Penggunaan senjata itu menimbulkan persoalan berkaitan keselamatan, undang-undang dan risiko kecederaan, termasuk kemungkinan individu yang terkena pancaran bertindak melarikan diri ke kawasan berbahaya seperti sungai ketika cuba menyeberangi sempadan.
Tentera AS pernah membawa sistem itu ke Afghanistan hampir dua dekad lalu, namun tidak menggunakannya dalam operasi pertempuran.
Cadangan penggunaannya di sempadan Mexico juga pernah dibincangkan sebelum ini, tetapi tidak pernah dilaksanakan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








