Netanyahu calonkan Trump untuk Hadiah Nobel Keamanan
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dicalonkan untuk Hadiah Nobel Keamanan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu susulan peranannya dalam memacu beberapa inisiatif ‘damai’ serantau.
Netanyahu menyerahkan surat pencalonan itu dalam satu majlis makan malam bersama Trump di Rumah Putih, semalam.
“Beliau sedang membawa keamanan dari satu negara ke satu rantau, satu langkah pada satu masa,” katanya.
Trump, yang menerajui AS sejak Januari lalu, sebelum ini beberapa kali dicalonkan oleh sekutu politik konservatif, namun belum menerima pengiktirafan rasmi daripada Jawatankuasa Nobel Norway.
Trump secara terbuka menzahirkan rasa tidak puas hati apabila inisiatif damai yang digerakkannya termasuk rundingan antara Serbia dan Kosovo serta Perjanjian Abraham tidak diberi perhatian sewajarnya oleh badan antarabangsa itu.
Selain itu, beliau turut menuntut penghargaan atas peranannya dalam menstabilkan hubungan antara India dan Pakistan serta menenangkan ketegangan antara Mesir dan Ethiopia berhubung krisis Empangan Nil Biru.
Sebagai sebahagian daripada agenda pentadbiran baharunya, Trump kembali menampilkan dirinya sebagai pendamai dunia, dengan komitmen untuk menamatkan konflik di Ukraine dan Gaza.
Namun, selepas lebih lima bulan kembali ke Rumah Putih, kedua-dua peperangan itu masih belum menunjukkan sebarang kemajuan ke arah penyelesaian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








