Kongres PKR 2023 bakal adakan slot khas bagi peringati mangsa di Palestin
PUTRAJAYA – Kongres Nasional PKR 2023 yang akan berlangsung pada 25 dan 26 November ini bakal menyaksikan satu slot khas bagi memperingati mangsa-mangsa di Palestin yang ditindas dengan kejam oleh rejim Israel.
Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, PKR akan sekali lagi menegaskan mesej dan pendirian parti terhadap isu kemanusiaan yang berlaku sejak berlakunya kemelut Palestin dan negara haram Israel.
Kata beliau, kongres tersebut juga akan turut dihadiri pimpinan utama dari parti-parti gabungan kerajaan perpaduan selain turut menerima kehadiran dari 50 kedutaan asing.
Betempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya (PICC), acara tahunan itu akan dimulakan dengan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan dan Kongres Nasional Wanita Keadilan pada sebelah pagi bermula dari jam 8.00 pagi hingga jam 6.30 petang.
“Ini adalah Kongres tahunan yang pertama yang akan dihadiri oleh sidang perwakilan dari seluruh negara selepas setahun Keadilan bersama-sama dalam gabungan kerajaan perpaduan.
“Sudah tentu kongres akan dimeriahkan dengan kehadiran perwakilan seramai 2,374 orang dan pemerhati 1,500 orang, dari Sabah hingga Perlis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar beliau, dengan tema kongres ‘Memaknai Reformasi, Menjulang Madani’ isu-isu terkait kemakmuran ekonomi, kebajikan dan keadilan sosial, tatakelola pentadbiran yang baik dan kestabilan politik akan menjadi tumpuan utama dalam perbahasan yang akan disampaikan oleh para pembahas.
“Sudah tentu isu utama berhubung kos sara hidup, isu perpaduan dan 3R, isu rasuah dan penyelewengan kuasa antara topik yang akan dipilih oleh para pembahas kita.
“Pembahas-pembahas akan diberikan kebebasan untuk berbahas, memberikan nasihat, mengkritik serta melontarkan idea kepada barisan pimpinan yang kemudiannya akan dijadikan panduan dan iltizam pimpinan ke arah yang lebih baik,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














