Kaukus Palestin mahu usul genosid Gaza dibahas di Dewan Rakyat minggu depan
KUALA LUMPUR – Kaukus Palestin Parlimen Malaysia akan mengemukakan usul berkaitan genosid di Gaza kepada Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi mendapatkan pertimbangan untuk dibahaskan pada minggu depan.
Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pihaknya yakin ruang untuk membahaskan isu berkenaan masih boleh diberikan walaupun Dewan Rakyat dijadualkan mengadakan perbahasan Belanjawan 2027 minggu depan.
“Ada ruang atas budi bicara Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul untuk meluluskan usul dan memberi ruang berbahas terlebih dahulu.
“Oleh itu, saya harap ruang itu dapat diberikan sepenuhnya di Dewan Rakyat dan masa yang mencukupi diperuntukkan bagi membolehkan perbahasan yang substantif serta penyertaan ahli Parlimen merentas parti,” katanya pada sidang media sempena peringatan tiga tahun genosid di Gaza, di Parlimen, di sini, hari ini.
Jumlah kematian akibat serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza dilaporkan meningkat kepada 74,040 orang sejak konflik itu tercetus pada Oktober 2023, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Syed Ibrahim berkata, sejak tiga tahun lalu, Malaysia terus menterjemahkan sokongan kepada Palestin menerusi bantuan kemanusiaan, usaha diplomatik berterusan serta penyertaan dalam proses undang-undang antarabangsa.
“Menurut rekod Parlimen, jumlah dana kerajaan melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) meningkat kepada RM86 juta sejak 7 Oktober 2023.
“Kerjasama antara kerajaan dengan lebih 50 organisasi bukan kerajaa (NGO) turut menyokong penghantaran ribuan tan bekalan penting, dengan lebih 5,000 tan bantuan dilaporkan dihantar seawal 2024.
“Malaysia juga bekerjasama dengan badan-badan (di bawah) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi kemanusiaan serta terus mempertahankan peranan penting Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) dalam usaha kemanusiaan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengajak masyarakat menyertai Himpunan Peringatan Tiga Tahun Genosid Gaza yang akan berlangsung Jumaat ini, dari jam 2 petang selepas solat Jumaat hingga pukul 5 petang.
“Perhimpunan akan bermula di Menara Tabung Haji, Kuala Lumpur sebelum bergerak menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








