Pemilik jet peribadi ditahan bantu siasatan rampasan dadah 521kg di Laos
KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan penahanan seorang lelaki tempatan yang juga pemilik jet peribadi yang dikaitkan dengan kes rampasan 521 kilogram (kg) dadah di Laos, baru-baru ini.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, lelaki itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari semalam di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Beliau menambah, siasatan mendapati syarikat penerbangan itu memiliki dua pesawat yang menawarkan perkhidmatan sewaan jet peribadi.
“Bagi kes ini, pesawat berkenaan telah disewakan dengan kadar bayaran AS$49,500 (RM202,544.10). JSJN sedang mengenal pasti individu yang membuat tempahan penyewaan itu untuk diambil tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Susulan penahanan itu, polis turut menahan tiga individu lain di lokasi sama bagi tujuan pemeriksaan dan siasatan lanjut.
Beliau menambah, kesemua empat individu yang ditahan berusia antara 30 hingga 40 tahun dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Semalam, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesahkan serbuan terhadap sebuah hangar di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rampasan dadah di Laos.
Operasi khas itu dijalankan bersama JSJN Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (AVSEC) dan Pegawai Kawalan Perjalanan Cawangan Khas (TCO).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








