Pelakon Tisha Shamsir didakwa masukkan tiga jenis dadah ke dalam badan
KUALA LUMPUR – Seorang pelakon wanita yang dikenali menerusi drama kepolisan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan memasukkan tiga jenis dadah berbahaya ke dalam badan sendiri, Selasa lalu.
Tertuduh, Shanorbiah Shamsir Alam, 40, atau lebih dikenali sebagai Tisha Shamsir membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Berdasarkan pertuduhan, Shanorbiah didakwa melalui ujian air kencing mendapati memberikan kepada diri sendiri dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin ke dalam badan sendiri di tandas pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, pada pukul 7.30 pagi, Selasa lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun serta pengawasan antara dua hingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Azhar Nik Adib, memetik laporan Metro Online.
BACA JUGA:
Yusof Haslam gugur pelakon disyaki positif dadah daripada produksi
Pelakon wanita terkenal ditahan, disyaki positif dadah
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurainna Maryam Norazman yang menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu, telah berpisah dengan suami serta menanggung kedua-dua ibu bapanya yang sudah berusia.
Beliau turut memaklumkan bahawa tertuduh sebelum ini telah diberikan jaminan polis, hadir sendiri ke mahkamah dan tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 8 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, pelakon itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 8.49 pagi dengan berpakaian serba hitam, memakai pelitup muka dan diiringi pengawal peribadi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







