SPRM perkukuh hubungan dua hala dengan Kedutaan Republik Rakyat China
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkukuh hubungan baik dengan Kedutaan Republik Rakyat China menerusi majlis makan tengah hari atas jemputan Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, TYT Ouyang Yujing kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman di kediaman rasminya di Kuala Lumpur, kelmarin.
Majlis tersebut menjadi ruang bagi kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai hubungan Malaysia–China serta meneroka peluang perkongsian pengalaman dan kerjasama antara institusi kedua-dua negara.
Delegasi SPRM turut disertai Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Mohd Hafaz Nazar; Pengarah Kanan Bahagian Perisikan, Datuk Saiful Ezral Arifin; Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan, Datuk Rasidah Abdul Karim; Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Datuk Norhaizam Muhammad dan Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Khas, Datuk Ismajuri Ismail.
Pihak Kedutaan pula diwakili oleh Minister Counsellor, Lin Shiguang; Police Counsellor, Zhang Weikang; Police Second Secretary, Li Xianfeng dan Police Third Secretary, Shi Longxiang.
Pertemuan itu turut membawa makna istimewa kerana ia merupakan hari terakhir Ouyang Yujing berada di Malaysia setelah enam tahun berkhidmat sebagai Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia.
Abd Halim merakamkan penghargaan di atas persahabatan, sokongan dan hubungan baik yang terjalin sepanjang tempoh perkhidmatannya serta turut menzahirkan penghargaan menerusi sambutan mesra serta layanan diberikan kepada delegasi SPRM.
Dalam pertemuan tersebut, perbincangan menyentuh hubungan kerjasama institusi antirasuah, pertukaran lawatan serta ruang perkongsian pengetahuan dan pengalaman bagi meningkatkan keupayaan institusi masing-masing.
Kedua-dua turut pihak bertukar pandangan mengenai perkembangan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan automasi, serta kepentingan pembangunan kemahiran dalam menghadapi perubahan teknologi.
Perkongsian tersebut memberi ruang untuk memahami pendekatan yang boleh diteliti mengikut kesesuaian mandat dan keperluan institusi.
Perbincangan turut merangkumi pendidikan, pelancongan dan pemeliharaan warisan budaya sebagai antara bidang yang menyumbang kepada pengukuhan hubungan serta persefahaman antara rakyat Malaysia dengan China.
Majlis diakhiri dengan ucapan selamat jalan serta doa kesejahteraan dan kejayaan kepada Ouyang Yujing.
Hubungan baik yang terjalin diharap dapat diteruskan melalui komunikasi dan kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








