BERITA SEMASADALAM NEGERIINISIATIF KERAJAAN

SPRM tubuh Kaukus Antirasuah, libat masyarakat sivil

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan Kaukus Antirasuah Masyarakat Sivil (CSO) sebagai usaha memperkukuh keterlibatan rakyat dalam agenda pembanterasan rasuah negara.

Kaukus tersebut dilancarkan di bawah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028 menerusi pelaksanaan Substrategi 3.5 yang memfokus kepada pengupayaan suara rakyat.

SPRM dalam kenyataan berkata, kaukus itu akan menjadi saluran berstruktur bagi organisasi masyarakat sivil menyuarakan pandangan dan menyumbang kepakaran dalam isu berkaitan integriti dan tadbir urus.

“Selain itu, CSO yang terlibat juga berperanan menyediakan laporan serta cadangan tahunan kepada kerajaan, selaras dengan usaha meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam sistem pentadbiran.

“Langkah ini memperluas keterlibatan rakyat dan mengukuhkan kerjasama antara agensi penguat kuasa serta masyarakat dalam membina tadbir urus yang berintegriti,” katanya.

Kaukus itu diterajui Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM dengan sokongan strategik daripada Institut Integriti Malaysia (IIM) selaku rakan pelaksana utama.

Keanggotaannya merangkumi pertubuhan berpengalaman dalam bidang antirasuah dan integriti termasuk Transparency International Malaysia, Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (PAKAR).

Turut terlibat ialah Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Business Integrity Alliance (BIA), serta Anti-Bribery Management Systems Practitioners Malaysia (ABMS).

“Kaukus ini bersifat inklusif, dengan penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat seperti golongan belia, pelajar, usahawan dan wakil antarabangsa.

“Setiap ahli kaukus berperanan menyumbang kepakaran dalam pelaksanaan program, menyampaikan mesej pencegahan rasuah, serta bertindak sebagai penghubung antara organisasi dan masyarakat,” ujarnya.

SPRM juga yakin pendekatan itu dapat menggerakkan kerjasama rentas sektor secara lebih menyeluruh dan menyumbang kepada kejayaan NACS dalam membudayakan nilai integriti.

“Matlamat utama adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai negara bebas rasuah dan berdaya saing menerusi penglibatan aktif seluruh lapisan masyarakat,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi SPRM di talian 03-8870 0015 atau melayari laman web rasmi di www.sprm.gov.my.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button