Hakim Danish tamatkan kemarau 10 tahun Malaysia di Moto3
KUALA LUMPUR – Penantian sedekad Malaysia untuk kembali meraikan kemenangan di pentas Moto3 akhirnya berakhir apabila pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli mencipta kebangkitan luar biasa dengan menjuarai Grand Prix (GP) Czech di Litar Brno, hari ini.
Kejayaan manis itu menyaksikan Jalur Gemilang kembali berkibar megah dalam saingan Moto3 buat kali pertama sejak musim 2016, sekali gus menamatkan kemarau panjang yang menghantui kem negara selama 10 tahun.
Kemenangan sulung musim ini menjadi lebih bermakna apabila Hakim Danish berjaya bangkit selepas dikenakan hukuman susulan sesi kelayakan.
Semalam, pelumba negara itu mencuri perhatian apabila meraih petak kedua untuk perlumbaan selepas mempamerkan kelajuan kompetitif sepanjang hujung minggu di Brno.
Walau bagaimanapun, penalti dikenakan kerana memperlahankan jenteranya di salah satu sektor ketika sesi kelayakan kedua (Q2), sekali gus menyebabkan beliau terpaksa bermula dari petak ke-14.
Pelumba berusia 18 tahun itu kemudian memperagakan kematangan di atas litar apabila berjaya menyingkirkan seorang demi seorang pencabar dengan penuh disiplin dan ketenangan sebelum melintasi garisan penamat di kedudukan pertama dengan catatan masa 33 minit 34.26 saat.
Pelumba Sepanyol, Brian Uriarte menamatkan saingan di tempat kedua dengan ketinggalan 0.466 saat, manakala rakan senegaranya, Marco Quiles melengkapkan podium di tempat ketiga selepas 0.629 saat di belakang Hakim Danish.
Kemenangan itu sekali gus menamatkan penantian panjang Malaysia dalam saingan Moto3 sejak kali terakhir diraih Khairul Idham Pawi pada musim 2016.
Untuk rekod, Khairul Idham mencipta sejarah apabila muncul juara GP Argentina dan Jerman dalam kelas Moto3 pada musim berkenaan, yang kekal sebagai dua kemenangan tunggal pelumba Malaysia di pentas dunia sebelum kejayaan Hakim Danish hari ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




