AGAMABERITA SEMASA

Sujud syukur pemain Muslim di Piala Dunia jadi dakwah berimpak besar – Dr Zulkifli

KUALA LUMPUR – Fenomena pemain bola sepak Muslim meraikan jaringan dengan melakukan sujud syukur di pentas Piala Dunia disifatkan sebagai satu bentuk dakwah santai yang mampu membawa imej positif Islam ke peringkat antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, tindakan ikonik tersebut bukan sahaja mencerminkan rasa syukur kepada Allah SWT, malah berjaya memecahkan stereotaip negatif terhadap komuniti Muslim di mata dunia.

sujud
Aksi sujud syukur pemain beragama Islam di pentas Piala Dunia membawa dakwah berimpak besar.

Menurut beliau, dalam Islam, sujud syukur melambangkan penyerahan sepenuhnya seorang hamba kepada Allah SWT atas segala nikmat dan kejayaan yang dikurniakan.

“Amalan sunat ini dilakukan sekali sahaja di luar solat, namun tetap tertakluk kepada syarat sah seperti berwuduk, menghadap kiblat serta menutup aurat dengan sempurna.

“Semoga lebih ramai atlet yang kekal tangkas dan bertenaga tanpa mengetepikan batasan aurat dan syariat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, kejayaan atlet Muslim seharusnya bukan hanya dinilai berdasarkan kemahiran dan prestasi di gelanggang, malah turut menjadi contoh melalui disiplin beragama yang utuh.

Katanya, fenomena itu wajar dijadikan inspirasi kepada golongan muda dan atlet Muslim untuk terus berbangga dengan identiti Islam di mana sahaja mereka berada.

“Ia membuktikan bahawa seseorang boleh mencapai kejayaan luar biasa di dunia, namun dalam masa yang sama tetap merendahkan diri kepada Allah SWT dengan mengekalkan jiwa ubudiyyah yang subur,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button