BERITA SEMASA

MAIWP salur RM18.171 juta bantuan Aidilfitri kepada 38,850 asnaf

KUALA LUMPUR – Sejumlah RM18.171 juta peruntukan disalurkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada 38,850 asnaf sebagai bantuan Aidilfitri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, bantuan sebanyak RM500 diberikan kepada setiap asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang terlibat.

Tambahnya, daripada jumlah tersebut, MAIWP turut menyampaikan sumbangan khas berjumlah RM138,000 melibatkan 400 ketua keluarga dan 200 kanak-kanak.

“Ia sebagai tanda komitmen berterusan dalam meringankan beban golongan asnaf, malah bukan sekadar sumbangan, tetapi juga simbol bahawa setiap agihan zakat membawa harapan dan menghidupkan kebersamaan dalam masyarakat.

“Dalam masa yang sama, MAIWP turut memperkukuh impak agihan zakat melalui kerjasama bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan peruntukan keseluruhan RM3.136 juta bagi melaksanakan program kebajikan, pendidikan dan dakwah kepada pelbagai kelompok yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Rahmah MADANI MAIWP: Majlis Santunan Kasih Asnaf 2026 di Dewan Perdana Felda, di sini hari ini.

Sementara itu, MAIWP dalam satu kenyataan berkata, sehingga semalam, MAIWP sudah mengagihkan RM257,069,178 dana zakat.

“Ia meliputi 38 skim bantuan meliputi (kluster 2) selain bantuan secara tidak langsung menerusi program pembangunan asnaf dan menerusi institusi pendidikan oleh MAIWP,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button