BERITA SEMASA

MAIWP salur RM1.02 juta kepada asnaf, fakir menerusi program Nur Ramadan

PUTRAJAYA – Sebanyak RM1.02 juta diperuntukkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk diagihkan kepada 5,100 asnaf dan fakir di Wilayah Persekutuan menerusi Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan 2026.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, sumbangan itu akan memanfaatkan penerima di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dalam usaha mengimarahkan bulan Ramadan.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 300 orang adalah penerima di Wilayah Persekutuan Putrajaya yang telah dikenal pasti kelayakan,” katanya ketika ditemui selepas Program Nur Ramadan di sini hari ini.

Program berkenaan merupakan anjuran Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj), Perbadanan Labuan (PL) dan MAIWP.

maiwp
Hannah (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan khas sebanyak RM5,000 daripada Peruntukan Khas Wilayah Persekutuan, JWP kepada surau terpilih di Putrajaya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan sumbangan khas sebanyak RM5,000 menggunakan Peruntukan Khas Wilayah Persekutuan, JWP turut disalurkan kepada Surau Al Hidayah Putra Harmoni, Presint 9; Surau Al Ehsan, Presint 11; serta Surau Al-Islah Fasa 7, Presint 9.

Jelasnya, sumbangan itu sebagai tanda sokongan kepada institusi masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Putrajaya yang terlibat secara langsung sebagai rakan strategik Program Nur Ramadan dalam mengimarahkan program serta memperkukuh pembangunan pendidikan Islam.

Menurut beliau lagi, pelaksanaan Program Nur Ramadan 2026 mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyantuni golongan memerlukan, mempraktikkan amalan bersedekah secara terus dan memperkukuh semangat kebersamaan masyarakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Pada masa sama, Hannah turut mengajak orang ramai memeriahkan Festival Ramadan Putrajaya 2026 (FRP26) bertemakan “Seindah Ramadan, Harmoni Lebaran” yang berlangsung dari 18 Februari hingga 19 Mac 2026 di Presint 3, Putrajaya.

Festival itu menjadi acara signifikan bersempena kalendar Tahun Melawat Malaysia 2026, Sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Ulang Tahun ke-30 Perbadanan Putrajaya.

Katanya, penganjuran festival berkenaan membuka peluang ekonomi kepada peniaga kecil, menghidupkan aktiviti komuniti serta memanfaatkan ruang awam secara inklusif selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.

FRP26 turut komited menyokong agenda Putrajaya Bandar Hijau Rendah Karbon menerusi Inisiatif Go Green seperti amalan transaksi tanpa tunai, larangan penggunaan plastik sekali guna dan kempen mengelakkan pembaziran makanan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button