Pengundi Setiawangsa terus diberi perhatian, sokongan – Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memberi jaminan bahawa penduduk Setiawangsa akan terus diberi perhatian dan perkhidmatan sewajarnya susulan pengumuman Ahli Parlimennya, Nik Nazmi Nik Ahmad untuk mengosongkan kerusi Parlimen tersebut.
Dalam satu kenyataan hari ini, Hannah turut merakamkan penghargaan kepada Nik Nazmi atas khidmat beliau kepada warga Kuala Lumpur sepanjang menjadi wakil rakyat kawasan itu.
Menurut beliau, segala urusan berkaitan perkhidmatan di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan akan diteruskan tanpa sebarang gangguan.
“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan, saya ingin memberi keyakinan kepada penduduk Setiawangsa bahawa perkhidmatan di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan akan terus berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan,” katanya.
Beliau berkata, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud turut diminta membantu memperkukuhkan peranan Pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Cawangan Setiawangsa dalam menangani isu tempatan dan memastikan segala aduan penduduk diberi perhatian segera.
“Ini termasuk penambahan tenaga kerja bagi mempercepatkan tindakan di lapangan sepanjang tempoh ini,” katanya.
Penduduk Setiawangsa juga boleh terus mengemukakan aduan atau mendapatkan perkhidmatan melalui Pejabat DBKL Cawangan Setiawangsa di Wangsa Maju.
Sementara itu, Hannah berkata, beliau akan bekerjasama dengan semua pihak bagi meneruskan usaha memelihara kawasan Bukit Dinding supaya kekal sebagai paru-paru hijau Kuala Lumpur untuk manfaat penduduk setempat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








