Kapasiti kolam takungan banjir KL tinggal 30 peratus – Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR – Kerajaan memandang serius keadaan kolam takungan banjir di ibu negara apabila kapasiti badan air tersebut kini dianggarkan hanya sekitar 30 peratus daripada saiz asal susulan pembangunan yang telah diluluskan sejak beberapa tahun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, sebanyak 17 lot tanah melibatkan kolam takungan banjir di Jinjang dan Batu telah diberi milik kepada pihak pemaju sejak tahun 2015.
Menurut beliau, kira-kira 70 peratus keluasan tanah dalam kawasan badan air tersebut telah diserah hak milik untuk tujuan pembangunan, sekali gus menjejaskan fungsi asal kolam takungan banjir berkenaan.
“Anggaran sebanyak 70 peratus keluasan tanah dalam kawasan badan air telah diserah hak milik kepada pemaju sehingga menyebabkan berkurangnya kapasiti berbanding keluasan asal 33.5 hektar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan penilaian teknikal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, keadaan itu turut menjejaskan fungsi asal kolam serta menyukarkan kerja-kerja penyelenggaraan dan akses jentera.
“Kerajaan MADANI tidak boleh terus membenarkan pembangunan yang menjejaskan fungsi kolam takungan banjir. Kepentingan rakyat dan keselamatan warga kota mesti diutamakan walaupun tindakan yang diambil memerlukan keputusan tegas,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah menubuhkan pasukan petugas khas (taskforce) yang dipengerusikan Ketua Pengarah JWP, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain, melibatkan pelbagai agensi bagi memperkukuh penyelarasan dan tindakan mitigasi banjir di Kuala Lumpur.
Dalam masa sama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan meluluskan Kebenaran Merancang (KM) bagi sebarang permohonan pembangunan di atas kawasan kolam takungan banjir sehingga syarat-syarat yang ditetapkan JPS dipatuhi.
Langkah itu bagi memastikan fungsi asal kolam serta akses penyelenggaraan dapat dikekalkan demi keselamatan dan pengurusan banjir di ibu negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















