BERITA SEMASAJABATAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Kajian Akta Ibu Kota selesai hujung Mac ini – Hannah Yeoh

PUTRAJAYA – Kajian kebolehlaksanaan berhubung cadangan pelaksanaan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur yang dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dijangka diteruskan sehingga penghujung Mac tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, setakat ini tiada perkembangan baharu kerana kajian tersebut masih berada dalam fasa pelaksanaan seperti yang dimaklumkan di Parlimen sebelum ini.

“Belum ada sebarang perkembangan terkini. Kajian masih berjalan dan seperti dijawab di Parlimen, ia akan diteruskan sehingga akhir Mac,” katanya ringkas kepada pemberita pada Majlis Nur Ramadan Wilayah Persekutuan di sini, semalam.

Sebelum ini, media melaporkan laporan interim telah diserahkan pada 27 Januari dan dibentangkan kepada Jabatan Wilayah Persekutuan sehari kemudian.

UIAM dijadual menyediakan empat laporan utama sepanjang tempoh Disember 2025 hingga Mac 2026, iaitu laporan awal, laporan interim, draf laporan akhir serta laporan akhir.

Terdahulu, Hannah mengarahkan kementeriannya menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pilihan raya sedemikian dilihat lebih praktikal berbanding memilih ramai ahli majlis bandar raya menerusi pilihan raya kerajaan tempatan.

Jelas beliau, struktur pentadbiran sedia ada melibatkan terlalu banyak unit, dengan ibu negara pada masa ini ditadbir secara serentak oleh seorang datuk bandar, ahli-ahli Parlimen serta penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button