PM tolak penjualan hotel FELDA, arah sediakan laporan lengkap
MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak untuk meluluskan cadangan penjualan sebuah hotel milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) selepas mendapati aset berkenaan dicadangkan untuk dijual pada harga lebih rendah berbanding nilai pembelian asal.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau sebaliknya mengarahkan pengurusan FELDA menyediakan laporan lengkap berhubung cadangan penjualan berkenaan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
Beliau berkata, hotel terbabit dicadangkan untuk dijual pada harga 100 juta pound Britain, sedangkan ia dibeli oleh pengurusan terdahulu pada harga 160 juta pound Britain.
Menurut beliau, cadangan penjualan tersebut amat dikesali kerana pada masa sama warga peneroka FELDA masih berdepan pelbagai cabaran kehidupan dan memerlukan bantuan bagi menambah baik kemudahan asas.
“FELDA ini bawah jagaan saya. Dua bulan lalu, pengurusan FELDA datang minta saya tandatangan untuk penjualan hotel itu.
“Saya kata nanti sekejap, ini berniaga apa macam ini? Jual harga rendah daripada ketika beli. Jadi, saya tidak tandatangan. Saya kata cari balik siapa yang buat kerja itu, buat laporan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Terendak, di sini hari ini.
Anwar menambah, laporan lengkap itu diperlukan bagi memastikan FELDA terus dipertahankan sebagai sebuah institusi penting negara.
“Kalau tidak, (biarkan saja) sampai bila pun kita ini, agensi-agensi termasuk agensi Melayu yang kita banggakan, kita nak pertahankan, ini akan jadi apa… jadi, kita harus betulkan itu,” ujarnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








