PM hargai petugas, rakyat jayakan Hari Kebangsaan 2026
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada seluruh petugas dan rakyat yang mencurahkan tenaga, masa serta keringat bagi menjayakan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya, hari ini.
Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat yang sanggup berkampung di Putrajaya sejak malam tadi bagi memeriahkan sambutan berkenaan.
Beliau berkata, pelbagai pihak termasuk anggota keselamatan, penjawat awam, pasukan teknikal dan perubatan, petugas kebersihan, kontinjen, penggiat seni, warga media, kanak-kanak serta sukarelawan memainkan peranan bermakna dalam memastikan sambutan berlangsung dengan tertib, meriah dan penuh jiwa merdeka.
“Salut saya kepada seluruh petugas yang telah mencurahkan tenaga, masa dan keringat bagi menjayakan Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
“Daripada anggota keselamatan, penjawat awam, pasukan teknikal dan perubatan, petugas kebersihan, para kontinjen, penggiat seni, warga media hinggalah anak-anak dan para sukarelawan, setiap daripada kalian telah memainkan peranan bermakna dalam memastikan sambutan ini berlangsung dengan tertib, meriah dan penuh jiwa merdeka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Baca juga : Anwar luang masa jalan 500 meter, santuni pengunjung Hari Kebangsaan
Menurut Anwar, kesediaan rakyat berhimpun dalam satu tekad untuk meraikan kemerdekaan membuktikan semangat kebersamaan yang didambakan, selain memperkukuh perpaduan.
“Terima kasih juga kepada seluruh rakyat yang sanggup berkampung di Putrajaya sejak malam tadi demi bersama-sama memeriahkan sambutan ini. Inilah semangat kebersamaan yang kita dambakan, berhimpun dalam satu tekad, meraikan kemerdekaan dan memperkukuh perpaduan,” katanya.
Beliau berkata, semangat, disiplin dan kebersamaan yang ditampilkan sepanjang sambutan mencerminkan wajah sebenar Malaysia sebagai sebuah negara yang teguh kerana rakyatnya bersatu dan saling melengkapi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







