‘Saya datang menziarah, tetapi pulang dengan hati yang belajar tentang hidup’ – Taufiq
CYBERJAYA – “Saya datang untuk menziarahi sebuah keluarga yang sedang kehilangan seorang anak. Tetapi saya pulang dengan hati yang lebih banyak belajar tentang hidup.”
Demikian kongsi Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari selepas beliau menziarahi keluarga Allahyarham pelumba motosikal muda negara, Farres Putra Mohd Fadhil, di Shah Alam hari ini.
Taufiq dalam hantaran di Facebook berkata, kunjungan beliau ke kediaman keluarga Allahyarham selepas sambutan Hari Kebangsaan, hari ini memberi kesempatan untuk mengenang perjalanan hidup pelumba muda itu yang sejak kecil sudah dekat dengan dunia permotoran.
Kunjungan tersebut turut menjadi ruang untuk menzahirkan penghormatan kepada keluarga Allahyarham, khususnya bapanya, Mohd Fadhill, dan ibunya, Norfadzilah, yang sedang berdepan kehilangan seorang anak.
Dalam hantaran tersebut, Taufiq berkata, Farres sudah dekat dengan dunia permotoran sejak kecil apabila pada usia tiga tahun dia biasa bermain di dalam kereta lumba bapanya, Mohd Fadhil, yang ketika itu seorang pelumba kereta profesional.
Minat terhadap sukan permotoran itu kemudian diwarisi Farres sebelum bapanya memberi ruang untuk dia mengejar impian dalam dunia perlumbaan.
“Allahyarham Farres melalui pelbagai program pembangunan sukan bermotor di bawah KBS sebelum melangkah ke pasukan profesional. Dan tahun demi tahun, namanya semakin bersinar,” kongsi Taufiq.
Antara pencapaiannya termasuk muncul Juara Keseluruhan FIM MiniGP Malaysia 2021, mewakili Malaysia ke FIM MiniGP World Series Final di Valencia, Sepanyol, selain mencatat kemenangan dan podium dalam saingan Malaysian Cub Prix.
Farres turut meraih podium pada Pusingan 3 CP150 di Dataran Seri Jempol tahun ini sebelum mencatat kemenangan sulung dalam kategori CP150.
Namun, Taufiq berkata, tiada siapa mampu menjangka bila sesuatu aktiviti menjadi yang terakhir buat seseorang.
Lebih menyentuh hati, beliau dimaklumkan rakan-rakan Allahyarham bahawa doa Farres selepas solat beberapa hari sebelum pemergiannya terasa lebih panjang dan bersungguh-sungguh daripada biasa.
“Kisah itu membuat hati saya tersentuh. Mungkin itu antara doa-doa terakhir Farres bersama Allah,” katanya.
Taufiq turut sempat melihat gambar terakhir Farres sebelum perlumbaan, ketika Allahyarham masih bergurau dan ceria bersama rakan-rakannya.
“Tiada siapa menyangka itulah antara detik-detik terakhirnya di dunia. Ada salam yang sebenarnya salam terakhir. Ada pelukan yang sebenarnya pelukan terakhir. Ada doa yang rupanya doa terakhir,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






