BUDI MADANI bantu rakyat, bendung ketirisan subsidi bahan api – Amir Hamzah
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan program BUDI MADANI bukan sahaja membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat, malah menjadi antara langkah kerajaan membendung ketirisan subsidi bahan api.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, menerusi program BUDI MADANI RON95 (Budi95), rakyat yang layak dapat membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM4.42 seliter, dengan had kelayakan 300 liter sebulan.
Katanya, pengguna diesel yang layak pula menikmati harga bersubsidi RM2.10 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM5.27 seliter, dengan kelayakan sehingga 400 liter sebulan.
“Inilah antara kaedah yang kita berikan kepada rakyat untuk menolong mengurangkan beban kos sara hidup, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan boleh guna mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.
Amir Hamzah berkata, penggunaan MyKad sebagai mekanisme pengesahan kelayakan pembelian petrol bersubsidi turut membantu mengekang ketirisan, khususnya pembelian oleh warga asing yang tidak layak menikmati kemudahan berkenaan.
Menurutnya, penjimatan hasil usaha membendung ketirisan subsidi boleh disalurkan semula untuk menambah baik bantuan kepada rakyat, selain memperkukuh kedudukan fiskal negara.
“Kerajaan turut mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam penyelewengan subsidi, termasuk kes yang dikesan di Nibong Tebal baru-baru ini,” katanya memetik laporan Bernama.
Mengulas cadangan mengecualikan golongan berpendapatan 20 peratus tertinggi (T20) daripada menikmati subsidi RON95, beliau berkata perkara itu memerlukan penelitian lanjut kerana kerajaan ketika ini memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan beban rakyat.
“Buat masa sekarang, usaha kita untuk mengurangkan beban pada rakyat dan kita tak nak menekan buat masa sekarang. Isunya ialah memastikan kita potong ketirisan yang berlaku. Dari situlah kita dapat penjimatan yang kita nak,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








