BERITA SEMASA

Isu perpaduan perlukan pendekatan praktikal, bukan sekadar buat majlis antara kaum – Yuneswaran

KUALA LUMPUR – Isu perpaduan di Malaysia tidak boleh diselesaikan hanya melalui pendekatan teori atau pembelajaran di bilik darjah, sebaliknya memerlukan penyelesaian praktikal yang melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj berkata, meskipun kementeriannya merupakan sebuah kementerian yang kecil dari segi saiz, tanggungjawab yang digalas amat besar kerana melibatkan usaha memupuk keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Menurut beliau, usaha memperkukuh perpaduan tidak boleh bergantung semata-mata kepada penganjuran program atau majlis yang menghimpunkan masyarakat berbilang kaum, sebaliknya perlu disokong oleh dasar kerajaan yang lebih menyeluruh.

“Apabila kita bercakap tentang perpaduan, kita perlu meneliti dasar-dasar kerajaan khususnya dalam bidang ekonomi dan pendidikan. Ia merupakan usaha jangka panjang yang memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak dan tidak boleh diselesaikan dalam tempoh singkat,” katanya.

perpaduan
Yuneswaran Ramaraj (tengah) menekankan usaha memperkukuh perpaduan merupakan agenda jangka panjang yang perlu disokong oleh dasar ekonomi dan pendidikan negara.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hi-Tea dan Ramah Mesra Bersama Media yang berlangsung di bu negara, hari ini.

Dalam majlis sama, Yuneswaran menegaskan peranan media sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat selain elemen penting dalam usaha memperkukuh perpaduan serta menyampaikan maklumat berkaitan dasar dan inisiatif pentadbiran kepada masyarakat.

Beliau berkata, kerjasama erat antara kementerian dan pengamal media perlu terus diperkukuh bagi memastikan maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada rakyat selain membantu kerajaan mengenal pasti isu-isu yang memerlukan perhatian.

“Majlis ini bertujuan mengukuhkan hubungan baik dengan rakan-rakan media yang banyak membantu menyalurkan maklumat serta inisiatif kerajaan kepada masyarakat.

“Setiap maklum balas yang diberikan turut diambil serius bagi membolehkan kementerian menambah baik penyampaian, memberikan penjelasan serta memastikan maklumat yang tepat terus disampaikan kepada orang awam,” katanya.

Sementara itu, Yuneswaran turut menzahirkan penghargaan kepada pengamal media atas komitmen berterusan dalam melaporkan pelbagai isu semasa serta memainkan peranan penting menyalurkan maklumat berkaitan pembangunan negara kepada rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button