Orang ramai dipelawa sumbang bahan audio visual kepada Arkib Negara Malaysia
KUALA LUMPUR – Semua pihak termasuk orang perseorangan dipelawa menyumbang bahan dalam bentuk audio visual yang mempunyai nilai sejarah kepada Arkib Negara Malaysia dalam usaha melindungi dan memperkayakan kandungan arkib negara.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, selain kandungan berbentuk sejarah, Arkib Negara Malaysia juga mengalu-alukan bahan yang berkisar mengenai peristiwa, tempat, budaya, seni dan pencapaian negara.
“Penglibatan semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan, penggiat industri seni kreatif dan orang awam dari segi pengetahuan, kepakaran dan pengalaman dalam bidang masing-masing amat diperlukan ke arah pengarkiban audiovisual di Malaysia.
“Sebarang sumbangan bahan yang mempunyai fakta dan kepentingan sejarah negara amat dihargai untuk dijadikan rujukan generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui teks ucapan yang dibaca oleh Timbalannya, Mohamad Sobri Md. Daud pada majlis Perasmian Sambutan Hari Warisan Audiovisual Sedunia 2024 di Arkib Negara Malaysia, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman.
Hasnol berkata, sambutan Hari Warisan Audiovisual pada tahun ini yang bertemakan ‘Your Window To The World’ memaparkan dokumen, peralatan dan sejarah perkembangan teknologi audio visual yang memainkan peranan penting dalam dokumentasi dan penarkiban sejarah negara.
“Usaha ini adalah manifestasi usaha untuk melestarikan perpaduan dan meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan masyarakat berbilang kaum terhadap koleksi audiovisual sebagai khazanah warisan negara.
“Pameran ini juga adalah sebagai “jendela” bagi masyarakat menghayati dan memahami sejarah bukan sahaja di peringkat dalam negara tetapi ke peringkat dunia,” katanya.

Turut diadakan sempena sambutan ini ialah Perpaduan Bangsa melalui Lensa Dokumentari yang dapat memberi impak positif dan mencerminkan kepentingan budaya bangsa kepada masyarakat serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Turut diadakan sempena sambutan itu adalah Forum Perpaduan Bangsa melalui Lensa Dokumentari yang menyingkap kepentingan audio visual sebagai medium dokumentasi perpaduan dan keharmonian negara sejak zaman berzaman.
“Bahan audio visual bukan sekadar menyimpan rakaman sejarah yang bernilai tetapi juga wadah penting untuk memastikan perpaduan, semangat cintakan negara dan keharmonian masyarakat dapat diwariskan kepada generasi akan datang,”
Sehubungan itu, beliau juga berharap lebih banyak dokumentari berkaitan kenegaraan dapat dihasilkan untuk memperkenalkan identiti Malaysia di peringkat antarabangsa.

| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








