Malaysia dinobat pengurusan haji terbaik dunia kali kelima berturut-turut
MEKAH – Malaysia sekali lagi mencipta sejarah apabila diiktiraf sebagai Pengurusan Haji Terbaik Dunia buat akli kelima berturut-turut, sekali gus meraih Anugerah Labbaytum 2026 daripada Kerajaan Arab Saudi.
Anugerah berprestij itu diberikan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan pengurusan jemaah haji Malaysia yang dikendalikan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, pencapaian tersebut membuktikan kemampuan Malaysia dalam mengurus kebajikan jemaah haji secara sistematik, berkesan dan berteraskan nilai amanah serta ihsan.
“Kejayaan ini bukan sekadar anugerah, tetapi bukti bahawa dengan amanah, ihsan dan kerja berpasukan, Malaysia mampu menjadi penanda aras dunia dalam pengurusan haji.
“Alhamdulillah, Malaysia bukan sahaja hadir di Tanah Suci, malah terus menjadi contoh kepada dunia,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Menurut beliau, kejayaan itu turut menjadi bukti bahawa Malaysia bukan sahaja hadir di Tanah Suci sebagai negara pengirim jemaah, tetapi juga sebagai penanda aras dalam pengurusan haji di peringkat antarabangsa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga TH, petugas haji kebajikan dan kesihatan, pendeposit TH serta seluruh rakyat Malaysia atas sokongan berterusan dalam menjayakan operasi musim haji 1447H/2026M.
Kejayaan tersebut disifatkan sebagai pengiktirafan penting yang mengangkat martabat Malaysia di mata dunia Islam dalam aspek pengurusan ibadah haji.
Malaysia telah menerima Anugerah Labbaitom sebanyak empat kali sebelum ini menerusi kecemerlangan pengurusan haji oleh Lembaga Tabung Haji (TH).
Pengiktirafan itu diberikan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada negara yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pengurusan jemaah haji.
Bagi musim haji 1447H/2026M, Malaysia turut mengekalkan Diamond Award, iaitu kategori tertinggi dalam Anugerah Labbaitom, untuk tahun kedua berturut-turut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








