BERITA SEMASAPMX

Pelaburan FELDA di EHP: Anwar utus surat, minta bantuan Prabowo

BANGI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meminta campur tangan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bagi membantu melihat isu pelaburan FELDA dalam Eagle High Plantations TPK (EHP) yang berdepan potensi kerugian sehingga RM2.5 bilion.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah mengutus surat kepada Prabowo bagi meminta pemimpin negara itu membantu melihat permasalahan berhubung pelaburan berkenaan yang kini tersangkut di mahkamah.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kes membabitkan EHP antara contoh kes pelaburan yang mencatatkan kerugian hingga berbilion ringgit dan perkara seumpama itu tidak sepatutnya berlaku lagi.

“Isu yang dibangkitkan membabitkan hotel di London atau Kuching, itu masalah kecil. Isu yang paling besar termasuk pelaburan di Indonesia membabitkan EHP yang sekarang tersangkut di mahkamah.

“Saya sudah menulis surat kepada Presiden Prabowo meminta beliau melihat juga permasalahan ini. Kerugian kalau tidak ditangani RM2.5 bilion, yang mungkin kita peroleh nanti hanya RM200 juta. Ini satu contoh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi ramah mesra Perdana Menteri bersama pengurusan tertinggi dan pengurus FELDA, di sini, hari ini.

Baca juga : Tiada kompromi dalam siasatan TH, FELDA – PM

FELDA pada 2016 terbabit dalam pelaburan bernilai kira-kira RM2.3 bilion dalam syarikat perladangan EHP.

Pada Jun 2024, Tribunal Pusat Timbangtara Antarabangsa Singapura (SIAC) membuat keputusan yang memihak kepada anak syarikat FELDA, FIC Properties Sdn Bhd (FICP) membabitkan tuntutan Put Option terhadap 37 peratus pegangan saham dalam EHP.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata berdasarkan keputusan itu, tribunal mengarahkan salah satu atau kedua-dua, PT Rajawali Capital International (RCI) dan PT Rajawali Corpora (RC) untuk menjalankan tanggungjawabnya di bawah Put Option dengan membeli kembali saham EHP pada harga atau kadar dipersetujui daripada FICP.

Bagaimanapun, berdasarkan laporan Parlimen pada Oktober 2025, arahan timbang tara terbabit masih belum selesai dilaksanakan.

Pada bulan lalu, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin, turut mahu kerajaan memberi perhatian terhadap EHP.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button