Lawatan Presiden Poland cetus era baharu hubungan Malaysia-Poland
PUTRAJAYA — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan rasmi Presiden Poland, Andrzej Duda ke negara ini sebagai detik bersejarah yang membuka lembaran baharu hubungan strategik antara Malaysia dan Republik Poland.
Dalam ucapan alu-aluan beliau di Putrajaya hari ini, Anwar berkata lawatan tersebut membawa makna besar buat rakyat Malaysia dan menjadi simbol penghormatan serta kepercayaan tinggi antara kedua-dua negara.
“Bagi pihak Malaysia, saya ingin mengalu-alukan kehadiran Presiden Duda dan delegasi dari Republik Poland.
“Kami amat berbesar hati menyambut anda dan ingin mengucapkan terima kasih atas lawatan ini,” katanya dalam sidang media bersama di Pejabat Perdana Menteri, hari ini.

Kali terakhir lawatan peringkat tertinggi dari negara itu adalah pada tahun 1999, menjadikan kunjungan Presiden Duda sebagai cukup signifikan dalam konteks diplomatik.
Anwar turut memuji kemajuan pesat Poland dalam pelbagai bidang, khususnya teknologi baharu, kecerdasan buatan (AI), digital serta teknologi makanan.
“Kemajuan ini menjadikan Poland sebagai rakan penting dalam landskap serantau.
“Saya menantikan hubungan yang lebih kukuh dalam bidang pertahanan, teknologi makanan, pelaburan perniagaan, teknologi digital, tenaga boleh diperbaharui serta kepakaran anda dalam teknologi hidrogen hijau,” ujar beliau.
Selain itu, Perdana Menteri turut menyatakan minat terhadap pengembangan industri kosmetik Poland yang kini semakin dikenali di peringkat global.
“Walaupun golongan seusia saya tidak terlalu mengutamakan kosmetik, saya percaya golongan muda amat berminat untuk mencuba produk-produk dari Poland,” katanya berseloroh.
Menurut Anwar lagi, data perdagangan dari 2023 hingga 2024 menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan yang membuktikan potensi besar dalam hubungan dua hala.
Beliau menyebut tentang minat Malaysia untuk memperluas eksport minyak sawit, produk berasaskan kayu serta kerjasama dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan teknologi hidrogen hijau.
“Perbincangan juga menyentuh potensi kerjasama dalam sektor pertahanan. Saya gembira mengetahui bahawa Presiden Duda telah melawat Port Dickson hari ini bersama Kementerian Pertahanan,” katanya.
Selain itu, Perdana Menteri turut menekankan potensi besar dalam sektor industri halal, selari dengan kekuatan Poland dalam teknologi makanan.
Dalam pertemuan dua hala tersebut, Malaysia turut berkongsi pengalaman dalam kerjasama ASEAN serta hubungan erat dengan negara GCC dan China.
Anwar turut menyatakan keprihatinan terhadap konflik yang berlarutan di Ukraine dan menegaskan pendirian Malaysia menentang peperangan.
“Malaysia berpendirian tegas menentang konflik yang berterusan kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada Eropah, tetapi juga kepada masyarakat antarabangsa dan ekonomi global,” katanya.
Anwar juga merakamkan penghargaan terhadap sokongan Poland kepada rakyat Palestin melalui bantuan kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
“Keputusan dan komitmen anda dalam usaha mengekalkan keamanan serta bantuan kepada rakyat di Gaza amat kami hargai,” katanya.
Sementara itu, Presiden Duda pula menyatakan bahawa lawatan tersebut adalah peluang bersejarah untuk menjalin kerjasama lebih erat dengan rantau Asia Tenggara.
“Poland amat menghargai hubungan dengan Malaysia. Kami melihat potensi besar dalam kerjasama sektor makanan, teknologi hijau, keselamatan dan pendidikan.
“Ini adalah asas kukuh untuk hubungan yang lebih menyeluruh,” ujar beliau.
Lawatan itu dijangka membuka ruang baharu kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang strategik yang lebih menyeluruh dan inklusif.
Presiden Duda mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari 9 hingga 11 Jun di atas jemputan Perdana Menteri sendiri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








