Pembaziran makanan di Malaysia perlu ditangani
KUALA LUMPUR – Isu pembaziran makanan di Malaysia perlu dipandang serius apabila hampir 40 peratus daripada keseluruhan 40,000 tan metrik sisa pepejal yang dijana setiap hari merupakan sisa makanan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pembaziran makanan bukan sahaja satu jenayah malah merupakan satu dosa terutamanya apabila sebahagian makanan berkenaan masih boleh dimakan, namun dibuang begitu sahaja.
“Satu dosa yang besar apabila makanan yang boleh dimakan dibuang begitu saja. Setiap hari negara kita menghasilkan 12,000 tan sisa daripada makanan.
“Itu memerlukan kerjasama semua pihak, menerusi pendekatan melibatkan seluruh masyarakat, termasuk pengusaha, rakyat membeli, pengguna semua untuk memberikan kerjasama mengubah sikap bagi menangani pembaziran”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Nd Nawi pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam sidang sama, Kor Ming turut memaklumkan, KPKT sedang mempergiat peralihan sistem pengurusan sisa pepejal negara daripada konsep ‘guna dan buang’ kepada ekonomi kitaran.
Jelasnya, melalui ekonomi kitaran, bahan bernilai dapat dikekalkan dalam rantaian ekonomi pada tahap maksimum, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








