Kerajaan MADANI naikkan Peruntukan Persekutuan untuk Sabah, cecah RM17 bilion bagi 2025–2026
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan MADANI terus komited memperkukuh pembangunan Sabah melalui peningkatan perbelanjaan dan pelaksanaan projek strategik berimpak tinggi di negeri itu.
Beliau berkata, perbelanjaan Kerajaan Persekutuan untuk Sabah terus meningkat setiap tahun merangkumi pemberian negeri, perbelanjaan mengurus agensi Persekutuan, subsidi bahan api serta projek pembangunan.
“Jumlah perbelanjaan sebenar untuk Sabah bagi tahun 2022 adalah sekitar RM13 bilion.
“Di bawah Kerajaan MADANI, perbelanjaan ini telah ditingkatkan kepada kira-kira RM14 bilion bagi tahun 2023 dan 2024,” katanya dalam sidang khas di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, bagi tahun 2025 dan 2026, peruntukan kepada Sabah akan terus ditambah sehingga mencecah RM17 bilion, sekali gus menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan keseimbangan pembangunan antara wilayah.
Tambahnya, jumlah perbelanjaan Kerajaan Persekutuan bagi Sabah jauh melebihi hasil yang dikutip di negeri itu bagi tahun 2022 hingga 2024 yang berjumlah sekitar RM10 bilion setahun termasuk bayaran tunai hasil petroleum sebanyak 5 peratus serta cukai langsung dan tidak langsung lain.
“Ini bermakna, Kerajaan MADANI telah membelanjakan lebih daripada keseluruhan hasil pendapatan yang dikutip di Sabah.
“Ia bukti jelas bahawa kerajaan tidak meminggirkan Sabah dalam agenda pembangunan negara,” katanya.
Dalam Belanjawan 2026, Kerajaan Madani memperuntukkan hampir RM7 bilion bagi pembangunan Sabah iaitu jumlah tertinggi berbanding negeri-negeri lain.
Malah, projek-projek yang disenaraikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) turut mengambil kira keutamaan dan permohonan daripada Kerajaan Negeri Sabah.
Antara projek utama yang sedang dan akan dilaksanakan termasuk Pusat Jantung Sabah di Kota Kinabalu (RM125 juta), Jalan Kalabakan–Simanggaris (RM416 juta) serta Talian Penghantaran Elektrik Southern Link Fasa 1A (RM200 juta).
Selain itu, projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B juga diteruskan semula dengan kos keseluruhan RM14 bilion iaitu melibatkan RM5 bilion peruntukan pembangunan dan RM9 bilion dibiayai melalui pinjaman.
“Sejak tahun 2024, Kerajaan Persekutuan turut menyediakan pembiayaan berjumlah RM1 bilion untuk projek air Sabah yang dijangka siap pada tahun hadapan,” jelas Perdana Menteri.
Dalam aspek industri minyak dan gas pula, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan menyokong sepenuhnya pelaksanaan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai bersama Kerajaan Sabah pada Disember 2021 bagi memperluas penyertaan anak Sabah dalam sektor tersebut.
“Dengan sokongan Kerajaan MADANI, kerjasama ini telah membuahkan hasil apabila kontraktor minyak dan gas Sabah memperoleh projek bernilai RM2 bilion pada tahun 2024,” katanya.
Selain itu, kerajaan turut bersetuju membenarkan Kerajaan Sabah mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum, yang berjaya menjana hasil tambahan kepada negeri itu sekitar RM2 bilion sejak tahun 2022.
Menutup ucapannya, Anwar menegaskan Kerajaan MADANI akan terus berusaha menyelesaikan segala tuntutan tertunggak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), meningkatkan kadar Pemberian Khas kepada Sabah serta menambah baik peruntukan mengurus dan pembangunan setiap tahun demi kesejahteraan rakyat negeri itu.
“Komitmen ini berterusan supaya segala obligasi Kerajaan Persekutuan kepada Sabah dapat dipenuhi sesuai dengan keperluan perkhidmatan kerajaan negeri dan kemampuan fiskal negara.
“Inilah tekad Kerajaan MADANI dan sepertimana janji-janji lain, ia akan direalisasikan,” tegas beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








