BERITA SEMASAPMX

“Keputusan tidak popular kadangkala perlu demi masa depan negara” – PM Anwar

KUALA LUMPUR – Keputusan yang tidak popular kadangkala perlu dibuat demi menjamin kepentingan ekonomi dan masa depan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, dalam usaha membina negara yang semakin maju serta berdepan pertambahan jumlah penduduk, keperluan terhadap sistem pengangkutan awam yang cekap dan efisien tidak boleh dipandang ringan.

“Saya bangkitkan perkara ini ketika Forum Ilmuan Malaysia MADANI Siri 6 yang dianjurkan oleh Prasarana Malaysia Berhad. Isu pengangkutan bukan sekadar soal infrastruktur, tetapi turut menyentuh keselesaan serta masa depan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut beliau, kerajaan sentiasa berusaha mencari alternatif terbaik dalam memastikan kemudahan pengangkutan darat, laut dan udara berada pada tahap optimum tanpa mengabaikan kecekapan dan kelestarian masa depan.

Baca juga : Hab pengangkutan awam baharu akan dibina di Kuala Lumpur

Ujar Anwar yang Menteri Kewangan, keutamaan kerajaan tidak hanya tertumpu kepada pengangkutan semata-mata, malah turut merangkumi aspek penting lain seperti kesihatan dan pendidikan rakyat.

“Forum Ilmuan MADANI menjadi platform bermakna untuk membuka ruang wacana berkaitan permasalahan rakyat dan tindakan kerajaan untuk mengatasinya.

“Sebelum memutuskan dasar atau pendekatan terbaik, kita perlu mendengar pandangan pelbagai pihak, termasuk hal yang sebelum ini dianggap remeh seperti isu urbanisasi, dasar pengangkutan negara, serta suara komuniti OKU,” jelasnya.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan keterbukaan terhadap pandangan pelbagai lapisan masyarakat akan terus menjadi asas penting dalam merangka dasar yang adil, inklusif dan berpaksikan kepentingan rakyat keseluruhan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button