POLITIK

PRN Melaka: Saya tak pernah merajuk, yang merajuk itu kuning – Tian Chua

MACHAP JAYA – Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua menegaskan beliau tidak pernah merajuk dengan parti itu walaupun pernah menjarakkan diri daripada Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Beliau berkata, pendiriannya untuk menyokong dan berjuang untuk prinsip-prinsip reformasi dan keadilan tetap sama walaupun ada ketika beliau tidak berada dalam parti.

“Saya tak pernah merajuk. Yang merajuk itu kuning,” katanya ketika ditemu bual di Majlis Deepavali Sinar MADANI di Machap Umboo, di sini.

Tian Chua berkata demikian ketika ditanya sama ada masih ada istilah merajuk selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat seruan memanggil semula jeneral-jeneral lama dalam reformasi.

“Tapi saya memegang kepada prinsip ini, saya tetap menganggap bahawa PKR adalah wahana, adalah saluran yang terbaik untuk mewakili impian dan cita-cita reformasi,” katanya.

Beliau kini hadir membantu calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.08 Machap Jaya, Datuk Ginie Lim Siew Lin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026.

Beliau berkata, kehadirannya di Machap Jaya bukan sesuatu yang baharu kerana beliau sebelum ini turut membantu di Johor dan Negeri Sembilan.

“Saya sebenarnya di Johor dengan Negeri Sembilan pun sudah membantu. Tapi khususnya di Machap Jaya ini, ini adalah kampung saya,” katanya.

Tian Chua berkata, beliau merupakan orang Melaka dan neneknya berasal dari kawasan berkenaan, sebagai orang Hakka, beliau mempunyai kaitan dengan Kampung Baharu di Machap Jaya.

“Semasa reformasi pada tahun 1999, beliau bertanding di Parlimen Alor Gajah yang ketika itu dinamakan Parlimen Selandar dan ia merupakan tempat pertama beliau bertanding.

“Dan juga saya telah memegang jawatan sebagai Ketua Cabang di Parlimen Alor Gajah sehingga 2004. Ya, boleh dikatakan saya mempunyai hubungan baik politik dan juga nostalgia di tempat ini,” katanya.

Mengulas kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim di Machap Jaya, Tian Chua berkata, ia menunjukkan kawasan itu adalah tempat yang penting.

“Saya rasa kehadiran beliau pertama sekali menunjukkan ini adalah satu tempat yang penting. Ia sebenarnya adalah kubu kuat PKR di Melaka dan kehadiran beliau juga menunjukkan Perdana Menteri prihatin dalam hal masyarakat Cina, India dan sudah tentu masyarakat Melayu,” katanya.

Beliau berkata, ia merupakan ciri khas bagi PKR iaitu sebuah parti yang inklusif. Katanya, wakil rakyat dan calon parti itu mesti mempunyai keupayaan untuk menyampaikan hasrat dan cita-cita rakyat yang berbilang kaum dan tidak khusus kepada satu kaum sahaja.

“Memandangkan Saudari Ginie pernah menjadi Exco dan pernah juga menjadi ADUN di sini, saya yakin beliau mempunyai kapasiti untuk mewakili masyarakat Machap Jaya,” katanya.

Mengenai perpecahan dalam PKR di Melaka beberapa tahun lalu, Tian Chua berkata, ia merupakan satu peristiwa yang malang dan ia sudah melepasi dan melihat keseluruhan pergerakan reformis mempunyai niat untuk mencantum semula dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua parti juga menunjukkan keikhlasan untuk merangkumi semua.

“Ini adalah satu masa titik permulaan baharu bagi perjuangan reformasi. Biarlah kita kumpul balik tenaga dan pastikan apa yang kita capai ini dapat dipertahankan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button