Lee Chean Chung letak jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya
KUALA LUMPUR, 2 Okt — Lee Chean Chung hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya berkuat kuasa serta-merta tanpa sebarang syarat.
Beliau membuat pengumuman itu pada sidang media di pejabatnya di Seksyen 1, Petaling Jaya, hari ini.
Keputusan berkenaan dibuat selepas beliau berdepan perkembangan terbaharu membabitkan kedudukannya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), termasuk penggantungan keahlian selama tiga tahun yang dilaporkan pada 30 September lalu.
Sebelum ini, pada 12 Jun, Chean Chung meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR selepas 18 tahun bersama parti berkenaan.
Bagaimanapun, ketika itu beliau memaklumkan akan kekal sebagai anggota PKR dan meneruskan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya sehingga Parlimen dibubarkan.
Chean Chung dipilih sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang berlangsung pada 2022.
Perkembangan terbaharu itu menyusul selepas hubungan beliau dengan kepimpinan PKR dilaporkan semakin tegang susulan penglibatannya dalam beberapa program Bersama. Beliau sebelum ini turut menerima surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin PKR.
Dengan peletakan jawatan itu, Chean Chung tidak lagi meneruskan tugas sebagai wakil rakyat Petaling Jaya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








