Wan Saiful persoal ke mana surat PAS kepada Muhyiddin
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan kewujudan sepucuk surat yang didakwa diutuskan oleh PAS kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan peletakan jawatan Presiden Parti Bersatu Pribumi Malaysia (BERSATU) itu sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Menurut Wan Saiful, surat berkenaan dipercayai mengandungi ucapan terima kasih PAS terhadap jasa Muhyiddin sepanjang mengetuai gabungan tersebut yang juga boleh ditafsirkan sebagai penerimaan parti itu terhadap peletakan jawatan Ahli Parlimen Pagoh berkenaan.
“Surat ini secara prinsipnya boleh difahami sebagai penerimaan PAS terhadap keputusan Muhyiddin melepaskan jawatan Pengerusi PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau bagaimanapun mempersoalkan sama ada surat itu sengaja ‘disembunyikan’ bagi memberi ruang kepada penyokong tegar Muhyiddin melobi parti-parti komponen PN supaya menolak peletakan jawatan tersebut.
“Mungkinkah penyokong tegar di sekeliling Muhyiddin menasihatkan supaya surat ini disorokkan sementara waktu bagi memberi ruang mereka melobi parti komponen PN menolak peletakan jawatan beliau?” soalnya.
Selain itu, bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU itu turut membangkitkan persoalan sama ada Muhyiddin akan mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN yang dijangka diadakan tidak lama lagi dan dianggap penting bagi hala tuju blok pembangkang.
Wan Saiful mempersoalkan keabsahan mesyuarat berkenaan sekiranya ia dipengerusikan Muhyiddin sendiri, memandangkan agenda utama mesyuarat adalah mengesahkan peletakan jawatan Pengerusi PN selaras dengan perlembagaan gabungan itu.
“MT PN dijangka bermesyuarat dalam masa terdekat dan agenda pertama seharusnya mengesahkan peletakan jawatan Pengerusi PN.
“Maka timbul persoalan sama ada wajar Muhyiddin hadir dan mempengerusikan mesyuarat tersebut kerana ia melibatkan keputusan mengenai dirinya sendiri,” katanya.
Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu selepas lima tahun menerajui gabungan berkenaan.
Susulan itu, pelbagai spekulasi tercetus berhubung calon yang bakal menerajui PN dengan antara nama disebut termasuk Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








