BERITA SEMASA

Kelulusan RUU Islam Selangor perlu disertai sempadan kuasa jelas – ADUN Permatang

SHAH ALAM – Kelulusan undang-undang berkaitan hal ehwal Islam di Selangor perlu disertai sempadan kuasa yang jelas, mekanisme akauntabiliti yang kukuh serta mampu menjamin keadilan dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, kekuatan sesebuah institusi tidak seharusnya diukur berdasarkan keluasan kuasa yang diberikan, sebaliknya melalui keseimbangan antara kuasa, akauntabiliti dan perlindungan hak rakyat.

“Atas prinsip itu, setiap cadangan yang saya kemukakan sepanjang perbahasan bertujuan memperkukuhkan lagi Rang Undang-Undang (RUU) yang dibentangkan, bukannya melemahkan.

“Ketiga-tiga RUU yang diluluskan merupakan reformasi penting yang bakal membentuk landskap pentadbiran agama Islam dan institusi kehakiman Syariah di Selangor untuk tahun-tahun akan datang,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.

Semalam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan tiga RUU berkaitan hal ehwal Islam dan Mahkamah Syariah melalui pungutan suara.

Antara pindaan yang diluluskan ialah perubahan terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 bagi mengasingkan kuasa Mahkamah Syariah serta memasukkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), yang mendapat sokongan lebih dua pertiga daripada 52 ADUN yang hadir.

Nurul Syazwani yang juga seorang pengamal undang-undang berkata, beliau menyambut baik pindaan berkenaan, namun mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan termasuk penggunaan bahasa dan tafsiran yang lebih jelas, memperkukuh institusi bailif serta memastikan mekanisme semak dan imbang yang mencukupi.

“Saya percaya undang-undang yang baik bukan sekadar memperluaskan kuasa sesuatu institusi, malah menetapkan had kuasa, menyediakan mekanisme semak dan imbang serta melindungi hak rakyat.

“Sebagai ADUN pembangkang, pendirian saya kekal konsisten. Saya akan terus menyokong setiap usaha yang memperkukuh agama Islam, memartabatkan institusi negeri dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button