Seruan boikot bayar zakat, wakaf di Selangor tindakan tidak bertanggungjawab
SHAH ALAM – Tindakan segelintir pihak yang mengajak umat Islam memboikot pembayaran zakat dan pelaksanaan wakaf di Selangor berikutan isu pencerobohan tanah perkuburan Islam di PJS4, Petaling Jaya adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Menurut Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin, isu berkenaan berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan sedang diuruskan mengikut peruntukan undang-undang.
“Lembaga Zakat Selangor (LZS) bertanggungjawab mengurus, mengutip dan mengagihkan zakat kepada lapan golongan asnaf di Selangor bagi meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi mereka.
“Sementara Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) pula dipertanggungjawabkan mengurus, membangun dan memajukan harta wakaf supaya dapat dimanfaatkan secara berterusan demi kepentingan umat Islam.
“Justeru, seruan sebegini bukan saja mengelirukan masyarakat, malah boleh menjejaskan hak golongan asnaf untuk menerima bantuan hasil kutipan zakat, selain merencatkan usaha membangunkan serta memajukan harta wakaf di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sallehuddin berkata, MAIS sentiasa memantau sebarang pencerobohan ke atas tapak masjid, surau dan institusi agama Islam di negeri ini.
Katanya, jika tanah yang terbabit adalah tanah yang diwartakan bagi maksud awam seperti tujuan agama Islam, MAIS akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi memastikan tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya diambil.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi, tuduhan, fitnah atau menyebarkan maklumat tidak benar berhubung isu berkenaan, sebaliknya mendapatkan pengesahan melalui saluran rasmi pihak berkuasa berkaitan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








