BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Selangor catat kes bunuh tertinggi negara sejak 2023

KUALA LUMPUR – Selangor mencatatkan jumlah kes bunuh tertinggi di negara ini bagi tempoh Januari 2023 hingga November 2024, dengan keseluruhan 115 kes direkodkan, menurut Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Faktor keluasan kawasan, kepadatan penduduk serta kepesatan pembangunan ekonomi dikenal pasti antara penyumbang utama kepada jumlah kes yang tinggi di negeri berkenaan, termasuk kemasukan pekerja asing dalam jumlah yang besar.

JSJ dalam laporannya berkata, dalam tempoh sama, keseluruhan 476 kes bunuh direkodkan di seluruh negara, melibatkan 261 kes pada tahun 2023 dan 215 kes dari Januari hingga November 2024.

“Secara purata, lima kes berlaku setiap minggu pada 2023 dan empat kes seminggu sepanjang 2024.

“Selain Selangor, negeri lain yang mencatatkan kes tertinggi ialah Perak (60 kes), Johor (59 kes), Sabah (47 kes) dan Sarawak (36 kes),” menurut laporan itu lagi.

JSJ turut mendedahkan bahawa seramai 266 mangsa direkodkan pada 2023, melibatkan 212 lelaki dan 54 wanita, manakala 226 mangsa pula direkodkan bagi tempoh Januari hingga November 2024.

Daripada jumlah mangsa tahun ini, 87 orang adalah warga asing, menjadikan mereka kumpulan paling tinggi menjadi mangsa kes bunuh berbanding rakyat tempatan.

“Analisis mendapati warga asing merupakan golongan tertinggi menjadi mangsa, berbanding warganegara,” katanya lagi.

Dari segi tindakan undang-undang, 185 kertas siasatan atau 71 peratus daripada kes bunuh 2023 telah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Manakala bagi tempoh Januari hingga November 2024, 149 kertas siasatan iaitu 69.3 peratus turut berjaya dibawa ke muka pengadilan.

PDRM memaklumkan pihaknya terus memperkukuh usaha siasatan jenayah berat dan komited memastikan pelaku jenayah bunuh dibawa ke muka pengadilan tanpa kompromi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button