BERITA SEMASALUAR NEGARA

Akibat kerap kirim wang kepada keluarga, suami rancang pembunuhan isteri

HYDERABAD – Seorang lelaki didakwa merancang pembunuhan isterinya sendiri kerana berang wanita itu sering menghantar wang kepada keluarganya sebelum mengupah pembunuh upahan untuk melaksanakan jenayah tersebut.

Mangsa, Mina Devi, 36, ditemukan maut di kawasan Sangareddy, Telangana pada 30 Mei lalu.

Siasatan polis mendapati suaminya, Anil Kumar Sah, menyimpan rasa tidak puas hati terhadap isterinya yang kerap menyalurkan wang kepada ahli keluarga sendiri, selain hubungan rumah tangga mereka semakin tegang selepas lelaki itu mengalami kemalangan sehingga menyebabkan dia kurang upaya.

Menurut polis, kemarahan yang dipendam itu akhirnya mendorong Anil mengupah beberapa lelaki dari Bihar dengan bayaran kira-kira 200,000 rupee (RM8,500) untuk membunuh isterinya.

Bagi mengelakkan dirinya dicurigai, suspek terlebih dahulu merancang satu cerita kononnya mangsa menjadi mangsa penculikan ketika mereka dalam perjalanan pulang selepas motosikal yang dinaiki rosak.

Anil kemudian membuat laporan polis mendakwa tiga lelaki tidak dikenali menyerang mereka sebelum membunuh isterinya ketika dia cuba mendapatkan bantuan.

Malah, suspek turut dipercayai mencederakan dirinya sendiri secara ringan bagi menguatkan dakwaan bahawa dia juga menjadi mangsa serangan tersebut.

Bagaimanapun, polis mula mengesyaki sesuatu apabila mendapati terdapat percanggahan dalam keterangannya.

Siasatan lanjut membawa kepada pendedahan bahawa pembunuhan itu sebenarnya dirancang oleh Anil sendiri dengan bantuan pembunuh upahan yang tiba di Hyderabad beberapa hari sebelum kejadian.

Polis berkata, kumpulan terbabit turut merancang secara terperinci lokasi serangan, masa kejadian dan laluan melarikan diri bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Susulan itu, Anil ditahan bersama beberapa individu lain yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan berkenaan.

Pihak berkuasa kini sedang memburu dua lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan kes tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button