Lelaki bunuh sembilan individu termasuk anak sendiri
PARAMARIBO – Seorang lelaki bertindak kejam apabila menikam mati sembilan individu, termasuk lima kanak-kanak dalam kejadian di ibu negara Suriname, Paramaribo, semalam.
Menurut laporan media tempatan, suspek dipercayai mengalami masalah kesihatan mental, manakala empat daripada kanak-kanak yang terkorban dikenal pasti sebagai anak kandungnya sendiri.
Polis berjaya menahan suspek selepas serangan dilaporkan bermula di dalam serta sekitar kediaman lelaki berkenaan.
Siasatan awal mendapati suspek bertengkar dengan isterinya melalui telefon sebelum menikam anak perempuannya yang berusia 11 tahun sebanyak 44 kali di dapur rumah.
Dalam satu kenyataan, polis memaklumkan seorang lelaki telah membunuh empat orang dewasa dan lima kanak-kanak menggunakan objek tajam di sebuah kediaman di Hadji Iding Soemitaweg.
“Seorang lagi kanak-kanak dan seorang dewasa mengalami kecederaan parah dan kini sedang menerima rawatan di hospital,” kata polis, lapor AFP.
Terdahulu, polis yang tiba di lokasi kejadian terpaksa melepaskan tembakan ke arah suspek selepas diserang menggunakan senjata tajam, menyebabkan lelaki itu ditembak di bahagian kaki sebelum dikejarkan ke hospital dan kini dirawat di bawah kawalan polis.
Tanpa mendedahkan identiti suspek, pihak berkuasa memaklumkan maklumat lanjut berkaitan kejadian tragis tersebut akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Presiden Suriname, Jennifer Geerlings-Simons, menyifatkan insiden itu sebagai amat menyayat hati dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Beliau berkata, ketika keluarga dan sahabat seharusnya saling menguatkan antara satu sama lain, masyarakat kini terpaksa berdepan dengan realiti gelap apabila seorang bapa sanggup meragut nyawa anak-anaknya sendiri serta jiran tetangga.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








