BERITA SEMASA

Jerebu: 8 kawasan Sarawak, satu di Selangor rekod IPU tidak sihat

KUALA LUMPUR = Lapan kawasan di Sarawak dan satu di Selangor merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pukul 6 petang tadi.

Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), di Sarawak, tiga kawasan baharu iaitu Miri dengan bacaan IPU 119, Sarikei (152) dan Sri Aman (154) merekodkan tahap tidak sihat susulan jerebu rentas sempadan petang tadi, menjadikan jumlah keseluruhan lapan kawasan berbanding lima pada sebelah pagi.

Lima kawasan yang sebelum ini merekodkan bacaan tidak sihat ialah Kuching dengan IPU 156, Samarahan (157), Serian (169), Bintulu (154) dan Samalaju (152).

Di Semenanjung, Johan Setia di Selangor menjadi satu-satunya kawasan yang merekodkan tahap tidak sihat dengan bacaan IPU 153.

Sementara itu, sebanyak 57 kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak berada pada tahap sederhana, manakala Langkawi di Kedah dan Kangar di Perlis masing-masing merekodkan bacaan pada tahap baik.

Menurut APIMS, bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 301 (berbahaya).

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam notis ramalan cuaca memaklumkan, keadaan cuaca panas dan kurang hujan dijangka berlaku di kebanyakan kawasan di Borneo, termasuk Sarawak, sehingga 14 Ogos.

Menurut MetMalaysia, pengaruh angin dari selatan serta jangkaan jumlah titik panas yang tinggi di negara jiran berpotensi menyebabkan jerebu rentas sempadan dan mengurangkan jarak penglihatan, khususnya di selatan Sarawak.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa merujuk laman sesawang rasmi dan media sosial MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini dan tepat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button