Pemuda PAS Selangor usul kerjasama PN-BN hadapi PRU16
SHAH ALAM – Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengemukakan usul supaya Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) menjalin kerjasama strategik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Usul tersebut merupakan antara lima usul utama yang diterima dalam Muktamar Tahunan Pemuda PAS Selangor Kali Ke-60 yang berlangsung hari ini sempena sambutan Jubli Intan penubuhan sayap pemuda parti itu.
Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, kerjasama antara kedua-dua gabungan politik itu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh blok pembangkang menjelang PRU16.
Menurutnya, muktamar turut menerima usul berkaitan kedaulatan dan syarat Speaker Dewan Negeri, pembangunan ekonomi melibatkan industri pusat data dan semikonduktor, pemerkasaan tanah rizab Melayu bernilai tinggi serta cadangan supaya PAS memimpin PN di Selangor.
“Usul berkaitan kerjasama strategik PN dan BN merupakan antara perkara yang dibincangkan dalam usaha memperkukuh kedudukan politik pembangkang menjelang PRU16,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Sukri berkata, Muktamar Pemuda PAS Selangor Kali Ke-60 turut menjadi detik bersejarah apabila menandakan genap 60 tahun atau Jubli Intan penubuhan Dewan Pemuda PAS Selangor.
Beliau menyifatkan tempoh enam dekad itu sebagai lambang kematangan, ketahanan dan kesiapsiagaan jentera pemuda PAS dalam mendepani cabaran politik semasa.
“Angka 60 tahun ini mencerminkan kematangan, ketahanan dan kesiapsiagaan penuh jentera pemuda untuk memimpin perubahan,” katanya lagi.
Bersempena muktamar berkenaan, Dewan Pemuda PAS Selangor mengangkat tema “Dirgahayu Selangor: Rakyat Bermuafakat, Negeri Berdaulat” yang digerakkan melalui lima teras strategik.
Lima teras tersebut ialah memperkukuh PAS sebagai parti arus perdana, penyatuan ummah dan koalisi agung pembangkang, menjadikan PRU16 sebagai medan perubahan, agenda tajdid dan islah Selangor serta memperkasa gagasan Dirgahayu Selangor.
Sementara itu, beliau turut mengumumkan penganjuran Kongres Melayu Selangor 2026 pada 16 September depan menerusi Sekretariat Gabungan Rakyat Pertahan Islam dan Institusi Beraja (DAULAT).
“Kongres itu bakal menghimpunkan teknokrat, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh korporat dan pemimpin masyarakat bagi merangka pelan tindakan berkaitan sosioekonomi, pemilikan hartanah dan kedaulatan politik orang Melayu di Selangor,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








