Super El Nino kuat, cuaca panas dijangka lebih ekstrem
KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta bersedia menghadapi cuaca lebih panas dan risiko gelombang haba yang lebih ekstrem susulan fenomena Super El Nino yang semakin menguat.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, fenomena itu dijangka mencapai kemuncak pada penghujung tahun ini hingga awal tahun depan.
Menurutnya, Super El Nino yang kuat berpotensi meningkatkan suhu maksimum harian sehingga 0.7 darjah Celsius berbanding suhu kebiasaan.

Katanya, keadaan itu turut diburukkan dengan pemanasan global yang semakin ketara, sekali gus meningkatkan risiko berlakunya cuaca panas melampau di negara ini.
“Berdasarkan analisis kami, kehadiran Super El Nino kuat boleh meningkatkan bacaan suhu maksimum harian sehingga 0.7 darjah Celsius lebih tinggi berbanding hari sebelum ini,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Beliau berkata, berdasarkan rekod pencerapan iklim negara, suhu maksimum harian lazimnya mencatat bacaan lebih tinggi bermula penghujung Monsun Timur Laut (MTL) hingga awal Monsun Barat Daya (MBD), terutama antara Februari hingga Jun.
Keadaan itu lebih ketara di negeri-negeri utara Semenanjung serta kawasan pedalaman Perak, Kelantan dan Pahang selain beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak.
Dalam pada itu, Mohd Hisham berkata, fenomena Super El Nino turut dijangka memberi kesan terhadap taburan hujan ketika MTL 2026/2027 yang berlaku antara November hingga Mac depan.
Katanya, kebanyakan negeri dijangka menerima taburan hujan pada paras purata sepanjang tempoh berkenaan, namun timur Sabah serta negeri-negeri di utara Semenanjung berpotensi menerima hujan lebih rendah daripada nilai purata.
Sementara itu, beliau berkata, keadaan hujan dan ribut petir yang masih kerap berlaku di Pantai Timur serta barat Sabah ketika ini hanya bersifat sementara akibat perubahan corak tiupan angin dan pergerakan udara lembap.
“Cuaca ini dijangka berubah kepada keadaan lebih kering dan panas di kebanyakan tempat di seluruh negara susulan angin MBD yang kembali aktif serta kurangnya pergerakan udara lembap ke negara kita sehingga penghujung minggu depan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








