MetMalaysia beri amaran kepada penduduk Sabah ekoran Taufan Fung-Wong
KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi amaran kepada penduduk Sabah agar berwaspada susulan kedudukan Taufan Fung-Wong yang kini berada kira-kira 1,200 kilometer ke timur laut Kudat dan berpotensi memberi kesan tidak langsung terhadap cuaca di negeri itu serta sekitarnya.
Dalam kenyataannya hari ini, MetMalaysia memaklumkan bahawa taufan berkenaan dikesan berhampiran barat daya Vigan City, Filipina dan bergerak ke arah barat laut dengan kelajuan 30 kilometer sejam (km/j).
“Angin maksimum yang direkodkan setakat ini ialah 120 km/j.
“Taufan Fung-Wong kini berada pada latitud 17.4 darjah utara dan longitud 119.2 darjah timur, iaitu kira-kira 1,196 km dari Kudat, Sabah,” menurut kenyataan itu.
Keadaan tersebut dijangka menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di beberapa kawasan perairan Laut China Selatan, khususnya di utara Sabah dan pantai timur Semenanjung.
Selain itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan serta Johor sehingga pukul 12 tengah hari ini.
Antara kawasan yang dijangka terjejas termasuk Langkawi, Kuala Muda dan Kulim di Kedah; Larut, Matang dan Selama serta Manjung di Perak; Sabak Bernam, Gombak dan Hulu Langat di Selangor; Jelebu dan Seremban di Negeri Sembilan; serta Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru di Johor.
Orang ramai, khususnya nelayan dan penduduk di kawasan pesisir pantai, dinasihatkan mengutamakan keselamatan, menangguhkan aktiviti laut, serta memantau laporan cuaca terkini melalui laman web dan saluran rasmi MetMalaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















