BERITA SEMASA

Hujan kategori bahaya dijangka berterusan hingga esok di empat negeri

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan kategori bahaya di empat negeri susulan taburan hujan sangat lebat yang dijangka berlarutan sehingga esok.

Menurut kenyataan dikeluarkan tengah malam tadi, amaran itu melibatkan Perlis, Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang dan Sik), Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh) serta Terengganu (Besut).

MetMalaysia berkata, keadaan hujan sangat lebat yang berterusan boleh meningkatkan risiko banjir kilat, limpahan sungai dan kejadian tanah runtuh terutamanya di kawasan rendah serta berhampiran sungai.

“Amaran hujan lebat kategori buruk turut dikeluarkan untuk beberapa kawasan lain di Pulau Pinang dan Kedah meliputi Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu.

“Di Perak, kawasan yang dijangka terkesan ialah Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak.

“Beberapa kawasan di Kelantan (Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang) serta Terengganu (Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman) turut diramal mengalami hujan lebat berterusan,” katanya lagi.

Sementara itu, amaran hujan berterusan kategori waspada dikeluarkan untuk daerah Kampar, Batang Padang dan Muallim di Perak serta beberapa kawasan di Pahang termasuk Cameron Highlands, Lipis, Jerantut dan Kuantan.

MetMalaysia menasihatkan penduduk di kawasan yang terlibat supaya sentiasa peka dengan perkembangan cuaca semasa dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya pemindahan diperlukan bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button