Cat hijau DBKL didakwa punca motosikal tergelincir
KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa cat hijau yang digunakan di laluan motosikal oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjadi punca beberapa kemalangan mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial, khususnya selepas gambar kemalangan melibatkan penunggang motosikal tular sejak semalam.
Seorang pengguna Facebook, Roman Akramovich mendakwa permukaan laluan yang dicat hijau itu licin dan berbahaya kepada penunggang motosikal.
“Ramai penunggang motosikal terlibat dalam kemalangan akibat keadaan permukaan laluan berkenaan dan menggesa tindakan undang-undang diambil terhadap pihak berkuasa tempatan sekiranya terbukti berlaku kecuaian,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook semalam.
Seorang lagi pengguna media sosial turut mempersoalkan kesesuaian bahan yang digunakan, dengan mendakwa permukaan tersebut menjadi lebih licin terutama ketika atau selepas hujan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Pro Application services, Wan Amirul Alfanzari ketika diminta mengulas berkata, punca sebenar hanya boleh dipastikan selepas pemeriksaan teknikal di lokasi dilakukan.
Bagaimanapun, beliau berpandangan permukaan yang kelihatan dalam gambar berkemungkinan menggunakan kemasan jenis licin atau smooth finish yang lazim digunakan untuk aplikasi tertentu.
“Kalau laluan seperti ini, sepatutnya menggunakan kemasan jenis non-skid atau anti-gelincir bagi meningkatkan cengkaman tayar.
“Saya perlu melihat sendiri keadaan di tapak untuk membuat penilaian tepat, namun berdasarkan gambar yang tular, ia kelihatan seperti kemasan licin. Jika benar begitu, faktor itu boleh menyumbang kepada risiko kemalangan terutama dalam keadaan basah,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.
Menurut beliau, spesifikasi teknikal yang sesuai amat penting dalam pemilihan bahan dan kaedah kemasan bagi laluan yang digunakan oleh motosikal bagi memastikan tahap keselamatan pengguna sentiasa terjamin.
Setakat ini, DBKL belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan yang tular di media sosial tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








